GAMBAR hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


TIGA rakyat Malaysia yang sedang melancong maut manakala dua cedera dan kritikal dalam kemalangan membabitkan kereta serta lori di Kaikoura, New Zealand, semalam.

Portal berita New Zealand, nzherald.co.nz melaporkan, kejadian berlaku kira-kira 3 petang waktu tempatan di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura.

Mangsa terbabit adalah pelancong berasal di Malaysia serta dipercayai mempunyai pertalian kekeluargaan.

Tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai orang dewasa manakala dua yang kritikal adalah remaja diterbangkan ke Hospital Christchurch dan Hospital Wellington dengan helikopter bagi mendapatkan rawatan.

Kemalangan menyebabkan laluan lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja menyelamat dijalankan dan punca kejadian masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Wisma Putra mengesahkan bahawa kemalangan itu membabitkan rakyat Malaysia dan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand akan melawat mangsa dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 12:30 PM