KELUARGA Nurazura turut mengembalikan sebahagian wang dan barang hantaran.
Oleh Ahmad Ismail
am@metro.com.my


“SUDAH tiada jodoh, pilihan terbaik adalah membatalkan pernikahan dan majlis jemputan jamuan perkahwinan adik, Nurazura Mahmod, 25, di saat akhir, ujar kakaknya, Zalizah Mahmod, 41.

Nurazura sebelum ini dilaporkan hilang sejak 27 November lalu oleh ahli keluarganya sebelum ditemui selamat di bandar Segamat di sini oleh anggota polis, jam 10 pagi, kelmarin.

Kehilangannya mencetuskan tanda tanya berikutan dia bakal melangsungkan perkahwinan Jumaat ini dan semua kelengkapan perkahwinan sudah diatur.

Zalizah berkata, pembatalan majlis perkahwinan adiknya itu mungkin dianggap sejarah hitam, tetapi terpaksa dilakukan demi kebaikan dan masa depan semua pihak.

“Punca kehilangan adik menjadi penyebab utama pembatalan majlis pernikahan namun biarlah ia menjadi rahsia keluarga kedua-dua pihak.

“Keluarga kami tabah dan reda terhadap implikasi akan dihadapi susulan pembatalan majlis itu apatah lagi ia dilakukan pada saat akhir,” katanya.

ZALIZAH menunjukkan barang hantaran majlis perkahwinan Nurazura (gambar kecil) di Felda Pemanis, Segamat.

Menurutnya, isu itu tidak perlu dipanjangkan demi menjaga nama kedua-dua keluarga yang terbabit,” katanya ditemui di Felda Pemanis di sini, semalam.

Menurutnya, keluarganya sudah mengembalikan sebahagian wang hantaran kepada keluarga lelaki selain pelbagai barangan hantaran.

“Malah, pelbagai barangan kering untuk dimasak ketika majlis kenduri kahwin itu juga dikembalikan kepada peruncit.

“Keluarga sangat menghargai dan bersyukur kerana keluarga bekas tunang adik menerima ketentuan itu dengan hati terbuka melalui rundingan hati ke hati.

“Keluarga pihak lelaki turut melakukan pelbagai persiapan terakhir majlis menerima menantu yang dijadualkan pada 8 Disember ini,” katanya.

Menurutnya lagi, mereka menerima dengan hati terbuka jika menerima kecaman pelbagai pihak melalui pelbagai medium media sosial dan menganggap ia ketentuan Ilahi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 8:01 AM