LUQMAN (dua dari kanan) melakukan percubaan yang gagal disekat pemain Timor Leste. FOTO/OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


DUA jaringan penyerang kelab Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abd Razak dan satu masing-masing menerusi Akhyar Rashid serta gol sendiri pertahanan lawan membolehkan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara menumbangkan Timor Leste 4-0 di Stadium Memorizal Rizal, di sini, malam tadi.

Kejayaan mengutip tiga mata pertama di temasya Sukan Sea 2019 itu membolehkan Malaysia mengumpul empat mata, sekali gus menghidupkan peluang merebut dua slot ke separuh akhir daripada Kumpulan A ini.

Mengekalkan formasi sama 3-4-3 seperti dua aksi sebelum ini ketika seri 1-1 dengan Myanmar dan tewas 0-1 kepada Filipina, anak buah Datuk Ong Kim Swee menguasai hampir 60 peratus aksi.

Kim Swee mempertaruhkan penyerang Pahang, Faizal Halim buat kali pertama dalam kesebelasan utama dengan merehatkan Akhyar selain turut menyenaraikan dua pemain B-18, Luqman Hakim Shamsudin dan Umar Hakeem Suhar Rezwan.

Menyedari hanya kemenangan besar saja mampu menghidupkan peluang, Malaysia tidak menunggu lama apabila berjaya mendahului seawal minit kelima.

Gol pertama itu hadir menerusi kesilapan Armindo Almeida yang cuba mengeluarkan bola dalam kotak penalti, namun ia menerjah masuk ke gawang sendiri tanpa dapat diselamatkan penjaga gol, Fagio Pereira.

Hadi yang mencetak satu gol ketika mengikat Myanmar sebelum ini, kembali menemui sentuhan apabila meledak dua gol pada minit ke-34 dan 44 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan 3-0.

Faizal yang gagal menyerlah sepanjang 45 minit pertama, dibawa keluar oleh Kim Swee dan memasukkan Akhyar bagi menambah sengat di jendera depan.

Begitupun, Timor Leste yang sesekali menyerang hampir memalukan skuad negara di babak kedua apabila memiliki sekurang-kurangnya lima peluang terbaik menjaringkan gol.

Namun kurangnya pengalaman menyaksikan skuad bimbingan Fabiano Flora gagal menembusi gawang negara yang dikawal Haziq Nadzli.

Menuju 10 minit terakhir, Akhyar menambah gol keempat sekali gus ‘mematikan’ terus kebangkitan lawan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:00 AM