WANG kertas RM10 diberi kepada Anne oleh ayahnyasejak setahun lalu sebelum akhirnya ditemui. (Gambar kecil) Gambar kenangan Anne bersama ayahnya. FOTO ihsan Y Anne Malar
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


MESKIPUN hanya sekeping wang bernilai RM10 namun maknanya cukup besar buat Y Anne Malar, 26, kerana ia adalah pemberian terakhir ayahnya, P Yesudass sebelum maut akibat kemalangan jalan raya, sembilan tahun lalu.

Namun, nasib tidak menyebelahi Anne apabila ‘harta’ kesayangannya itu hilang selepas beg duitnya dicuri ketika menyertai sebuah program perkhemahan berhampiran Pantai Klebang, Melaka pada September, tahun lalu.

Kehilangan itu memberi kesan mendalam buat Anne tetapi siapa sangka, kuasa media sosial akhirnya ‘mempertemukan’ semula wanita berkenaan dengan wang berkenaan.

Segalanya bermula selepas seorang wanita bernama Hyza Ezany memuat naik gambar sekeping wang RM10 di Facebook, 30 November lalu dengan tujuan untuk meminta pertolongan pengikutnya menjejaki pemilik duit berkenaan.

Hantaran itu mendapat perhatian warganet hingga Hyza berjaya menjejaki Anne dalam tempoh kurang 24 jam.

Anne ketika dihubungi Harian Metro mengakui gembira kerana akhirnya ada individu yang tampil untuk memulangkan semula wang pemberian ayahnya.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata, beliau tidak sangka akan menerima khabar gembira itu selepas lebih setahun kehilangan wang yang diberikan ayahnya pada 21 Mei 2010.

“Selalunya, ayah memberi RM1 atau RM2 tetapi pada hari berkenaan, dia menghulurkan wang belanja sebanyak RM10 kepada saya.

“Katanya, wang itu adalah bekalan untuk seminggu dan ayah sempat menghantar saya ke sekolah tetapi rupanya itu adalah pertemuan terakhir kami.

“Ayah meninggal ketika menunggang motosikal selepas dilanggar lori dan saya hanya tahu mengenainya selepas dijemput rakan ibu pulang ke rumah dari sekolah.

“Sejak itu, saya simpan wang berkenaan dengan rapi di dalam beg duit dan ada menulis coretan pada kedua-dua bahagian wang serta melipatnya dengan

bentuk hati.

“Malangnya, ia hilang selepas lapan tahun dalam simpanan apabila beg duit saya dicuri oleh individu tidak dikenalpasti,” katanya.

Anne berkata, biarpun peristiwa itu sudah lebih setahun berlalu, beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa berharap semoga ada pihak yang menemui serta mengembalikan wang berkenaan kepadanya.

“Saya tidak pernah gunakan media sosial sebagai medium untuk mencari wang berkenaan tetapi ada mencarinya di tempat ia hilang tetapi gagal dikesan.

“Tak sangka pula, ada individu menemuinya dan saya dapat tahu mengenai hebahan wanita berkenaan daripada ahli keluarga yang menghantar kiriman tangkap layar menerusi WhatsApp.

“Sebaik mendapat tahu mengenai perkara itu, saya terus menghantar kiriman mesej kepada individu berkenaan di Facebook dan rasa amat terhutang budi kepadanya.

“Khamis ini, saya akan bertemu dengannya di Melaka untuk mengambil semula wang berkenaaan.

“Saya mahu meletakkannya di dalam bingkai bersama gambar ayah kerana tidak mahu ia hilang lagi,” katanya yang menetap di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 11:30 PM