KINI berkhidmat di Putrajaya.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


TIDAK mahu terpalit dengan kontroversi yang boleh mengaibkan diri dan keluarga, Syafiq Farhain, 25 sentiasa menjaga tingkah laku.

Sebagai penjawat awam, lebih penting baginyamenjaga imej baik anggota bomba dan penyelamat.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu sebarang kontroversi bukan kerana sebagai artis, tetapi kakitangan kerajaan. Jika kontroversi itu mengaibkan pasukan, berkemungkinan saya boleh dikenakan tindakan tata terbib,” katanya kepada RapXtra.

Menurut Syafiq, ke mana saja dia pergi masyarakat menggelarnya ‘abam bomba’ biarpun sudah bergelar penyanyi.

“Saya membawa dua imej iaitu sebagai penyanyi dan penjawat awam. Saya perlu membentuk keperibadian mulia untuk masa hadapan.

“Berbanding artis yang datangnya dalam kalangan masyarakat biasa, risiko ke atas mereka berbeza jika disabitkan kontroversi memalukan seperti dicekup di kelab malam atau berkhalwat,” katanya.

Berkongsi kerjaya asal, dia direkrut sebagai anggota bomba di Akademi Wakaf Tapai, Terengganu pada 15 Ogos 2013 sebelum dipindahkan ke Balai Bomba dan Penyelamat Larkin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor pada 2014.

Tidak lama kemudian, dia dipindahkan ke Tebrau dengan mengendalikan kursus pemadaman kebakaran dan taklimat penggunaan alat pemadam api.

“Sepanjang berada di Johor, saya pernah terbabit misi memadam kebakaran yang menyaksikan seorang warga emas rentung. Bagaimanapun, pengalaman itu terlalu sedikit berbanding anggota yang lain,” katanya.

Menurut Syafiq, dia kini berkhidmat di Putrajaya dan ditempatkan di Unit Aset dengan waktu bekerja sama seperti penjawat awam lain iaitu jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Kebanyakan aktiviti seni saya diuruskan selepas waktu bekerja selain hujung minggu,” katanya yang baru menjayakan persembahan nyanyian anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hujung minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Syafiq akan melancarkan single kelapan berjudul Sakit Hati yang akan dimuat naik di YouTube pada pertengahan bulan depan.

Walaupun setakat ini dia menyanyikan lagu Melayu, terdetik di hatinya mahu menghasilkan lagu bahasa Inggeris selain memiliki single yang mengandungi muzik menggunakan alatan tradisional Cina.

Dalam pada itu, Syafiq menzahirkan keterujaan sebaik membintangi filem Hero: Jangan Bikin Panas yang menjadi lakonan pertamanya.

Katanya, dia menjalani penggambaran selama sembilan hari di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur selain kawasan hutan sekitar Lembah Klang.

Ketika ditanya mengenai masih ada segelintir peminat membandingkannya dengan arwah bapa, Saleem Iklim, Syafiq minta ia dihentikan.

“Saya sentiasa mahu menghasilkan single terbaik selain membentuk identiti sendiri. Sudah menjadi lumrah, akan ada perbandingan jika kita memiliki kaitan dengan seseorang,” katanya.

Dalam industri seni tanah air, Syafiq mahu konsisten sebagai penyanyi dan memikat pendengar menerusi lagu berkualiti.

“Saya harap setiap lagu yang dihasilkan menambat hati selain tidak mahu tenggelam dalam bidang ini,” katanya yang gemar bersenam di gimnasium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:20 AM