NURFATIMA
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


SEJAK meninggalkan tanah air pada 2009 untuk melanjutkan pengajian dan membuat keputusan menetap di Australia, kerjaya nyanyian Nurfatima di sini terus menyepi.

Graduan dalam bidang kejuruteraan audio ini berkahwin dengan warga Australia, Mohammad Jeffry Wain Wright hampir enam tahun lalu.

Dalam tempoh itu tidak banyak perkembangan mengenai dirinya kecuali memberitahu dia kini menjadi guru tadika.

Bagaimanapun, kemunculannya dalam program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) membuka mata ramai, sekali gus mengingatkan kembali peminat industri muzik tempatan terhadap dirinya.

Ramai tidak menyangka Nurfatima masih mampu menyanyi dengan baik terutama ketika mendendangkan lagu Anggapanmu nyanyian asal Ziana Zain duet bersama Liza Hanim.

Nurfatima ketika ditemui berkata, walaupun tidak aktif menyanyi di Malaysia, sepanjang berada di Australia dia masih meneruskan minatnya itu, cuma ia tidak dilakukan secara serius.

“Saya sempat menyertai kumpulan Winter Sky Line yang mengetengahkan genre rock. Saya juga menyanyi dengan satu lagi kumpulan, Paradise Knights.

“Pembabitan saya dengan dua kumpulan ini sekurang-kurangnya mendedahkan kepada genre muzik lain iaitu rock dan pop.

“Bayangkan sewaktu bersama kumpulan rock terbabit saya menyanyi dengan muzik bingit. Tapi itu semua pengalaman yang bagus buat saya dan pada waktu sama dapat menghilangkan rindu terhadap bidang nyanyian,” katanya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam GV6, kata Nurfatima, ia bermula dengan idea diberikan peminat yang masih mengikuti perkembangannya di Australia.

“Kalau ikutkan saya memang hendak tutup buku, tapi sekali fikir ini peluang untuk saya asah kembali bakat dan pada waktu sama tidak mahu kemahiran yang ada pada diri hilang begitu saja,” katanya.

Dalam pada itu, Nurfatima juga ada perancangan untuk bekerjasama dengan artis yang aktif di tanah air. Bagaimanapun, peluang GV6 datang membuatkan dia berasakan ini petanda positif.

Menyentuh mengenai perancangan selepas program GV6 tamat, kata Nurfatima, dia dan suami mahu melihat bagaimana perancangan dan perjalanan karier yang bakal diatur. Ia juga bergantung kepada permintaan.

“Kalau selepas GV6 ini permintaan untuk saya mengadakan persembahan banyak dan ada peluang untuk menghasilkan lagu baharu, mungkin suami akan berpindah dan kami akan kembali menetap di sini,” katanya.

Untuk memutuskan perkara itu juga bukanlah masalah, tambahan pula mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Jadi, jika keputusan dibuat secara tiba-tiba, ia tidak akan menimbulkan banyak masalah buat mereka.

“Saya tidak akan membuat keputusan terburu-buru. Tengoklah macam mana. Mungkin akhir tahun depan atau dua tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:15 AM