SAFAWI sah tidak beraksi di Sukan SEA Filipina selepas tiada dalam perancangan Kim Swee. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


“IA satu keputusan yang tidak masuk akal apabila pemain yang sedang berada pada tahap prestasi terbaik, diketepikan dengan alasan pemain itu penat.

“Sebelum ini (dua tahun lalu) kita bermain di tempat sendiri. Itupun sukar kita nak meraih pingat emas, ini pula beraksi di Filipina tanpa tonggak yang berjaya meledak gol ketika bertemu Indonesia, Selasa lalu.

‘Mungkin Safawi (Rasid) mahu bermain cuma apabila tidak disenaraikan... dia tidak mahu komen dan menghormati keputusan itu. Malah, sebagai pemain sudah pasti setiap individu mahu bermain jika diberikan kesempatan,” kata pengkritik bola sepak, Khalid Ali.

Bagi Khalid, Safawi mungkin tidak serius mengatakan dia penat bagi menolak bermain di Sukan Sea dan percaya sebagai seorang profesional, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan sedar ia bukan alasan terbaik untuk diketengahkan.

Khalid juga percaya, alasan penat tidak boleh digunakan oleh mana-mana pemain untuk menolak panggilan bersama skuad kebangsaan kerana ia adalah asam garam sebagai pemain bola sepak sepenuh masa.

“Safawi berada dalam kemuncak prestasi dan dia perlu bersedia jika khidmatnya diperlukan untuk menyarung jersi kebangsaan. Jika saya adalah jurulatih, sudah tentu saya mahukan lebih ramai pemain berpengalaman dan bagus untuk dibawa ke Sukan Sea,” katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan Safawi mendakwa dia terlampau penat dengan jadual perlawanan padat sepanjang tahun ini dan tidak kesal namanya tidak berada dalam senarai pemain ke Sukan Sea.

Safawi sah tidak beraksi di Filipina selepas Kim Swee mengumumkan senarai pemain pada sesi latihan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), kelmarin.

Keputusan itu sememangnya di luar jangkaan kerana Safawi awal-awal lagi dicanang bakal memperkuatkan pasukan negara yang menyasarkan mara ke pentas final temasya dwitahunan itu.

Malah, Safawi juga sebelum ini adalah ketua pasukan skuad B-22 ketika mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Kuala Lumpur, Mac lalu.

Sementara itu, bekas pertahanan negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, penat bukan alasan terbaik untuk tidak menyarung jersi kebangsaan.

“Penat bukan alasan yang patut diberikan oleh pemain profesional kerana kerjaya kita adalah bermain bola sepak, malah rehat selama 72 jam saja sudah mencukupi untuk pulih,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 7:00 AM