NORLELA bersama Irfan Wafiy ketika mengambil keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, semalam. FOTO ihsan keluarga Irfan
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


“SAYA tidak sangka dapat 6A kerana berdepan pelbagai masalah kesihatan dan kurang ke sekolah,” kata Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, pesakit Myokymia dipercayai akibat pencemaran Sungai Kim Kim di sini, Mac lalu.

Irfan Wafiy berkata, dia meletakkan sasaran keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 4A atau 5A kerana berdepan pelbagai masalah kesihatan sejak pencemaran Sungai Kim Kim berlaku.

“Alhamdulillah, apabila ibu memberitahu saya mencatat 6A saya bagaikan tidak percaya. Tetapi syukurlah saya mencatat keputusan cemerlang dan memohon sekolah asrama penuh.

“Saya sedar bakal berdepan pelbagai cabaran berikutan masalah kaki kiri yang sensitif namun saya menguatkan semangat dan menjaga diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia bercita-cita menjadi seorang doktor pakar saraf bagi merawat mereka yang senasib dengannya.

Irfan Wafiy berkata, tiada petua khusus untuk berjaya kecuali memberikan tumpuan penuh setiap kali mengulangkaji pelajaran termasuk di rumah kerana tidak sihat untuk ke sekolah.

Sementara itu, ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, berkata bersyukur dengan keputusan yang diperoleh anak keempat daripada lima beradik itu dan kini memohon sekolah asrama penuh yang sesuai dengan keadaan anaknya.

“Memang bimbangkan keadaannya. Ikutkan hati mahu dia kekal di rumah kerana dia berdepan masalah berjalan dan naik tangga. Dia boleh berjalan atau naik tangga, cuba terlalu lambat dan cepat penat.

“Sebelum ini, saya yang tolong angkatkan beg sekolahnya ketika dia menaiki tangga dan sekiranya bersiar-siar bersama keluarga, kami menggunakan kerusi roda.

“Bagaimanapun, semangatnya kuat untuk belajar di sekolah asrama penuh dan saya rela. Cuma mengharapkan ada sekolah yang mempunyai kemudahan sesuai bagi memudahkan pergerakannya, mungkin bilik asrama di tingkat bawah dan kemudahan lain,” katanya yang tinggal di Taman Bukit Dahlia di sini.

Menurutnya, tiga anaknya iaitu Mimi Nur Umaira, 21, menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lily Nur Saqinah, 19, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Pahang dan Fityati Nurfirzanah, 16, di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing.

“Selepas ini, kami menghantar Irfan Wafiy ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bertemu pakar saraf kanak-kanak pada 3 Disember ini untuk mengetahui keadaan semasanya,” katanya.

Irfan Wafiy seorang daripada empat murid Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia yang mencatat keputusan 6A.

Kisah Irfan Wafiy mula mendapat perhatian selepas kakinya menggeletar tanpa henti dipercayai akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu dan walaupun mendapatkan rawatan di hospital, keadaannya belum pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:30 AM