MARDIANA selesa dengan perjalanan kerjaya seni diceburi sejak 13tahun lalu. FOTO Aswadi Alias
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


ISTILAH ‘lengkap’ dalam kehidupan seorang wanita ialah apabila bergelar isteri dan seterusnya menjadi ibu.

Ia diakui pelakon teater dan drama, Mardiana Alwi, 31, yang kini memiliki seorang anak lelaki.

Mardiana yang dikenali menerusi drama bersiri Isteri Tuan Ehsan dan Mr Grey mendirikan rumah tangga bersama jurutera, Abdul Aziz Rahamat pada 21 November 2015.

Selepas dua tahun sabar menunggu rezeki anak daripada Allah SWT, mereka dikurniakan Bilal yang kini berusia setahun lima bulan.

Berbicara mengenai anaknya itu, Mardiana berkata, rutin kehidupan dilalui sebagai isteri dan ibu sangat membahagiakan.

“Kehadiran Bilal dalam kehidupan saya dan suami adalah rahmat daripada Allah. Bilal adalah nyawa kami. Setiap hari melihat keletahnya buatkan kami ceria. Saya sangat bersyukur diberi pengalaman menjadi seorang ibu.

“Walaupun masih menerima tawaran berlakon, keutamaan tetap kepada Bilal. Setakat ini, alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya.

Mardiana yang berlakon sejak 13 tahun lalu berkata, dia juga selesa dengan perjalanan kerjaya seni diceburi.

“Apa yang boleh dikata, nama saya tidaklah begitu popular tapi taklah tidak dikenali langsung. Ia umpama atas pagar.

“Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada juga segelintir penonton kenal siapa Mardiana Alwi. Apatah lagi, lebih sedekad berkecimpung dalam lakonan saya tidak pernah terpalit dengan sebarang gosip dan cerita sensasi. Ia sekali lagi membuatkan saya sangat bersyukur kerana pendirian ‘hanya bekerja’ itu teguh di dalam hati,” katanya.

Mengulas juga namanya yang kadang-kadang membuat orang keliru dengan seorang lagi pelakon Puteri Mardiana, wanita bertudung ini tidak menafikan.

Katanya kekeliruan itu memang pernah berlaku dan dia menganggap ia disebabkan persamaan pada nama.

“Saya pernah tidak bertudung ketika awal berlakon dulu. Oleh itu, mudah untuk orang keliru. Bagaimanapun, semua itu adalah asam garam sebagai insan seni. Saya melihatnya ke arah positif,” katanya.

Dalam pada itu, Mardiana bakal muncul dengan telefilem Lafaz untuk siaran RTM pada Disember nanti .

Telefilem arahan Hisyamudin Ahmad itu turut membariskan pelakon seperti Qi Razali, Wan Hanafi Su, Syazwan Zulkifky, Salina Saibi, Akmal Ahmad, Diana Aqila dan Syed Muhammad Baqir.

Mengulas wataknya, Mardiana berkata, dia melakonkan watak Anom, seorang suri rumah yang tidak mempunyai anak.

Katanya, walaupun melakonkan watak pembantu, ia memiliki kekuatan tersendiri untuk memantapkan jalan cerita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:15 AM