SUDIRMAN memakai kostum Power Rangers dan bergambar dengan anak muridnya
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


LAZIMNYA, kanak-kanak cenderung terhadap karakter adiwira, namun lain pula dengan guru bahasa Melayu, Sudirman Tawakal yang meminati Power Rangers hingga sanggup berbelanja bagi memiliki aksesorinya.

Bukan setakat itu, Sudirman yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mabul, Semporna, Sabah gemar memakai kostum hingga kehadiran beliau dinanti murid yang mahu mengajaknya bergambar.

Kisah guru berusia 41 tahun itu mendapat perhatian warganet selepas berkongsi beberapa gambarnya memakai kostum Power Rangers bersama murid tular di Facebook, Kami Guru Malaysia.

Bercerita lanjut, Sudirman berkata, sejak kecil lagi beliau meminati Power Rangers, tetapi baru tahun ini dapat merealisasikan impiannya untuk memiliki dan memakai kostum karakter kegemarannya itu.

Katanya, selain Power Rangers, beliau turut memiliki kostum Kamen Rider yang dibeli dengan harga RM850.


SUDIRMAN menjadi perhatian murid setiap kali memakai kostum di sekolah.

“Selain memenuhi hobi, niat sebenar saya memperagakan kostum adalah untuk menarik minat murid untuk datang ke sekolah.

“Sebenarnya, saya memang bercadang membeli kostum itu, tetapi membatalkan niat itu selepas menerima hadiah pemberian seorang rakan guru dari China ketika menghadiri pembentangan kajian peribahasa di negara itu pada Februari lalu.

“Namun, guru berkenaan hanya menghadiahkan kostum saja dan bagi melengkapnya, saya membeli sendiri aksesori lain seperti helmet, kasut, lencana dan pedang dengan kos keseluruhan RM1,150.

“Setiap kali ada majlis seperti hari guru, saya akan memakai kostum berkenaan dan ada membawanya ke sekolah untuk dipakai selepas waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bapa dua anak itu berkata, pengalaman kerap dilaluinya setiap kali memakai kostum adalah dikerumuni murid yang teruja melihatnya menggayakan persalinan berkenaan.

Katanya, segelintir murid turut bertanya apabila beliau tidak membawa kostum berkenaan ke sekolah.

“Agak rumit untuk memakai kostum itu sendiri dan kadang kala murid yang membantu saya untuk bersiap sebelum kami berkumpul bagi mengambil gambar.

“Selain murid, rakan guru tahu minat saya dan gembira kerana dapat menghiburkan warga sekolah dengan cara sebegini.

“Namun, tugas sebagai guru tetap menjadi keutamaan saya dan pemakaian kostum ini sekadar untuk mendapat kepuasan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 8:02 PM