JENAZAH diuruskan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia. FOTO Ihsan SPJM.
Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my


ISLAM menggalakkan umatnya menguruskan jenazah dengan segera dan cermat mengikut empat rukun digariskan.

Namun, tidak dinafikan ada cabaran dalam memenuhi rukun itu yakni memandikan, mengkafan, solat dan mengebumikan, seperti dilalui Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM).

Skuad itu berkongsi pengalaman dalam menguruskan jenazah wanita warga asing yang meninggal dunia pada 16 November lalu.

Kata Pengerusinya, Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, pihaknya terpaksa mengambil masa empat hari untuk menguruskan jenazah itu yang perlu dihantar ke kampung halamannya di negara jiran, berikutan kerenah waris.

“Pada awalnya, waris bersetuju untuk jenazah dikebumikan di negara ini tetapi, membuat ‘pusingan U’ selepas mendakwa bermimpi yang arwah ‘meminta’ dikebumikan di sana (kampung halamannya).

“Wanita berusia lingkungan 40-an itu meninggal dunia pada petang Sabtu di Sungai Buloh, Selangor dan pejabat kedutaan tidak buka untuk menguruskan dokumentasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, SPJM dihubungi suami arwah yang juga warga asing untuk membantu menguruskan jenazah disebabkan dia kurang upaya (OKU) kerana kudung kaki akibat kemalangan.

Muhammad Rafieudin mengakui, itu pengalaman mencabar bagi pihaknya kerana menghadapi beberapa kekangan terutama dalam mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

“Pada Ahad (hari kedua kematian), apabila kami menghubungi waris arwah (di kampungnya), mereka mengizinkan jenazah dikebumikan di Malaysia tetapi ia memerlukan surat pengesahan dengan cop ketua kampung atau penghulu negara kelahiran arwah.

“Urusan itu menjadi tergendala apabila waris gagal menemui ketua kampung atau penghulu. Selepas mereka memperolehnya, pejabat kedutaan di Malaysia pula tutup kerana waktu pejabat tamat.

“Jenazah terpaksa disimpan lagi sebelum mereka (waris) tiba-tiba menukar keputusan untuk mengebumikan jenazah di kampung halaman,” katanya.

Untuk itu, katanya, SPJM terpaksa menguruskan dokumentasi dengan pihak kedutaan di Malaysia sepanjang hari selain prosedur pengawetan dan penghantaran pulang dengan pesawat.

Beliau memberitahu, hanya pada hari ini yang memasuki hari keempat pemergian arwah, barulah jenazah dapat diterbangkan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Meskipun ada cabarannya tapi Alhamdulillah akhirnya urusan ini selesai dan jenazah pun sudah selamat dikebumikan di kampung halamannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:33 PM