DR Mohd Haizra menerima Phd Komunikasi Manusia sempena Konvokesyen UPM Ke-43. FOTO Azhar Ramli
Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my


TIDAK pernah berpeluang memiliki pekerjaan tetap sejak mengikuti pengajian peringkat pra-ijazah namun, itu bukan penghalang kepada Dr Mohd Haizra Hashim, 44, sebaliknya ia dianggap rezeki untuk beliau kekal fokus dalam mengejar impian untuk menggenggam ijazah doktor falsafah.

Dr Mohd Haizra menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) Komunikasi Manusia, kelmarin pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-43 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

Menurutnya, pelbagai kerja dilakukannya serentak seperti mengajar di pusat tuisyen dan menjadi pensyarah sambilan demi memastikan pengajiannya tidak terhenti di tengah jalan, apatah lagi dengan tanggungjawab menyara isteri serta tiga anak sedang membesar.

“Bukan tidak mencuba, tetapi usaha memohon apa saja pekerjaan berstatus tetap tidak berhasil.

“Mujur saya berjaya mendapat biasiswa MyBrain yang bukan saja menaja yuran pengajian, malah menyediakan elaun bulanan sebagai sokongan belanja berkaitan pengajian.

“Saya juga tidak lupa insan paling utama yang sentiasa memberi sokongan kewangan dan motivasi kepada saya untuk menghabiskan pengajian hingga ke tahap ini iaitu arwah bapa.

“Memang dari awal lagi, saya sudah sasarkan arwah (bapa) untuk masuk ke dewan bagi menyaksikan saya menerima ijazah di atas pentas, tetapi Allah lebih menyayanginya apabila meninggal dunia pada Mac lalu, tidak lama selepas saya memberitahunya yang saya sudah tamat pengajian PhD.


IZYANI menerima Ijazah Sarjana Fisiologi Tumbuhan sempena Konvokesyen UPM Ke-43. FOTO Azhar Ramli

“Isteri juga tidak kurang memberikan sokongan. Dia sangat memahami keperluan saya untuk menghadiri pelbagai persidangan berkaitan pengajian hingga kadang-kala dia terpaksa menggalas tugas menguruskan anak seorang diri, jasanya tidak terbalas,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Haizra berkata, banyak faktor pembakar semangat untuk beliau meneruskan hasrat memiliki PhD meskipun kedudukan kewangan tidak begitu stabil berbanding golongan bekerja tetap.

“Antaranya, cemuhan dan hinaan orang sekeliling yang rata-rata berkerjaya serta memiliki tahap pendidikan lebih tinggi.

“Laluan akademik saya tidak sehebat orang lain, saya sendiri hanya mula belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) pada usia 21 tahun, mengikuti diploma secara separuh masa selama empat tahun dalam bidang pengurusan teknologi.

“Kemudian, berhenti seketika sebelum sambung ke peringkat ijazah sarjana muda selama tiga tahun dengan mod jarak jauh dan berehat lagi beberapa tahun sebelum memulakan pengajian peringkat sarjana pula.

“Pada saya, biarpun cemuhan orang sekeliling nampak negatif tetapi sebenarnya ia sesuatu yang positif apabila mampu memandu saya untuk belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya menggenggamnya sendiri.

“Arwah bapa juga sentiasa mengingatkan saya mengenai pentingnya memiliki ijazah tertinggi pada masa kini dan akan datang kerana itulah juga yang akan membentuk pemikiran kita, duit adalah perkara kedua,” katanya.

Sementara itu, Izyani Raship, 39, bersyukur kerana perjalanan selama 10 tahun untuk memiliki Ijazah Sarjana Fisiologi Tumbuhan berakhir dengan saat manis menerusi majlis konvokesyen itu, semalam.

Daripada hanya seorang anak ketika mula mendaftar sebagai penuntut sarjana di UPM pada 2009, kini Izyani meraikan saat indah memperoleh ijazah itu bersama suami dan lima anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 6:30 AM