ANGAN-ANGAN Why Don’t Weuntuk jelajah keluar dari AS kini jadi nyata.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


TIGA tahun lalu, lima anak muda ini cuma remaja biasa yang gigih membina nama sebagai artis solo. Bagaimanapun, takdir menemukan mereka apabila menganggotai Why Don’t We yang kini antara kumpulan atau boyband paling berjaya di dunia.

Rancak mengadakan persembahan mengelilingi dunia, Why Don’t We yang dianggotai Jonah Marais, Corbyn Besson, Daniel Seavey, Jack Avery dan Zach Herron meniti kemuncak karier muzik mereka sekarang. Sokongan jutaan peminat yang luar biasa membuktikan kumpulan ini jelas diterima baik.

Tak mustahil Why Don’t We bakal menjadi kumpulan fenomena paling berpengaruh tidak lama lagi. Apatah lagi, artis berkumpulan yang mempertaruhkan muzik pop sekarang tidak semeriah pada era 1990-an dulu.

Dalam temu bual eksklusif bersama RAP, mereka menyifatkan kejayaan itu sesuatu yang tidak dijangka. Terlalu banyak perkara berlaku dalam tempoh yang begitu singkat.

“Ia sedikit pelik kerana tiga tahun berlalu begitu pantas. Apabila mengimbas semula waktu kami baru bermula, kami adalah individu yang berbeza. Sekarang kami semakin berkembang, matang, banyak belajar dan berevolusi sebagai artis.

“Kami makan, tidur dengan karier ini dan terbangun di lokasi yang menarik. Dua tahun lalu kami cuma mampu berangan-angan dapat keluar dari Amerika Syarikat (AS) dan menjelajah tempat lain. Perasaannya luar biasa kami dapat menjejak kaki dan bertemu media di sini,” katanya.

Memulakan karier muzik secara solo, Why Don’t We juga mengakui lebih selesa bergerak sebagai kumpulan. Bagi mereka, tiada satu saat pun yang membuat mereka tidak bersyukur disatukan.


WHY Don’t We pantas menakluk jutaan peminat di seluruh dunia.

“Kami bermula solo sebelum kumpulan ini ditubuhkan. Kami sudah merasai pengalaman itu, namun jelas lebih baik ada bersama rakan anggota lain dan lepak bersama setiap masa seperti selalunya dengan kawan sendiri.

“Kami dapat bayangkan situasinya pasti lebih sunyi apabila bergerak sebagai artis solo dan tidak melihat menganggotai kumpulan ini adalah satu pilihan. Hakikatnya kami semua mahu berada dalam kumpulan ini,” katanya.

Tidak dinafikan antara faktor kemaraan kumpulan ini ke tahap sekarang ialah pilihan lagu mereka yang sudah banyak. Rata-rata lagu yang menjadi pertaruhan utama tidak pernah gagal menjadi hit.

Jonah mengakui pemilihan lagu itu memberi cabaran setiap kali membuat senarai lagu untuk dipersembahkan pada setiap konsert.

“Memang mencabar apabila memiliki terlalu banyak lagu dengan tempoh masa yang singkat setiap konsert. Tahun depan pasti lebih sukar memilih disebabkan lagu baharu akan keluar.

“Tapi memang kena susun betul-betul apabila kami tidak mahu terlalu banyak lagu perlahan, begitu juga lagu rancak. Memang ada masa apabila kami sangat sukakan sesebuah lagu itu, namun akur tidak dapat masukkannya dalam senarai.

“Siri jelajah tahun ini pasti berbeza. Saya rasa kami buat kesilapan apabila tidak memasukkan lagu berjudul Falling dalam senarai disebabkan kami ragu-ragu sama ada lagu itu terlalu perlahan. Namun, kami nekad memasukkan lagu itu dalam siri jelajah seterusnya,” katanya.

Sangat pentingkan keaslian

Setiap artis perlu tampil dengan elemen tersendiri yang menjadikan mereka lebih diingati dan memberi impak. Bagi Jonah, Why Don’t We ada cara untuk tampil unik dan meletakkan beberapa elemen sebagai keutamaan mereka.

“Keaslian sangat penting dan begitu juga unsur kelakar dalam sesebuah kumpulan. Ada masanya kita tidak dapat beritahu mesej dalam sesebuah lagu dan susah untuk berhubung dengan penonton.

“Kami adalah golongan yang santai dan elemen kelakar itu sentiasa ada dalam kehidupan seharian. Di atas pentas, kami akan jadi ‘gila-gila’ dan lakukan sesuatu yang unik supaya penonton lebih terhibur,” katanya.

Sebagaimana impian mana-mana artis lain, Why Don’t We juga berharap mesej penting dalam lagu mereka sentiasa menyentuh peminat. Mereka tidak kisah bagaimana lagu mereka diterima asalkan memberi kesan.

“Kami mahu pendengar berseronok, beri kenangan indah dan jadikan lagu kami cara untuk lari daripada realiti seketika. Lagu kami pun ada yang berkisar dengan hubungan cinta seperti 8 Letters apabila kami harap lagu itu memberi ketenangan kepada mereka.

“Kami sangat seronok terbabit dalam produksi pembikinan setiap lagu apabila kami sendiri mahu mendalami sesebuah lagu itu sebelum peminat pula berbuat demikian. Disebabkan itu, kami sangat ambil berat setiap bahagian lagu kami.

“Paling seronok apabila kami bermula daripada kosong dan dalam tempoh tiga atau empat jam mendapat lagu yang kami sendiri tidak sangka boleh dihasilkan,” katanya.

Why Don’t We juga mengakui seronok meniti kerjaya sekarang. Mereka tiada langsung rasa terbeban termasuk tidak dapat merasai ruang kehidupan peribadi memandangkan pencapaian sekarang adalah sangat berbaloi.

“Hakikatnya, kami berjaya menuai keseronokan yang memang layak untuk kami dapat selepas bekerja keras. Apabila menyalurkan usaha yang terbaik, kita dapat melihat faedah daripadanya selepas membanting tulang.

“Akhirnya kami dapat merasai kepuasan tidak terhingga. Lagipun, dengan teknologi sekarang, sangat mudah untuk membuat panggilan video kepada orang tersayang di rumah jika rasa rindu,” katanya.

Why Don’t We berkunjung buat julung kalinya ke Malaysia baru-baru ini untuk menjayakan siri jelajah 8 Letters Tour Live in Kuala Lumpur.

Lebih 3,000 penonton hadir pada acara yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur itu.

Kumpulan terbabit turut membuat kejutan pada acara Limelight Afterparty yang mulanya hanya dihadiri peminat saja. Mereka tidak ketinggalan melawat beberapa tempat terkenal sekitar Kuala Lumpur dan Batu Caves.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:30 AM