LUFYAH dengan Dr Che Muhammad Hafiz ketika hadir di mahkamah. FOTO Rohanis Shukri
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


PELAKON dan penyanyi, Lufya Omar, dan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Petaling Jaya, untuk melantik ahli jawatankuasa pendamai (JKP) berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Hakim Syarie Shukran Yusof memerintahkan demikian selepas Dr Che Muhammad selaku defendan tidak bersetuju dengan tuntutan cerai yang difailkan Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 34, selaku plaintif.

Lufya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga rapat dengan satu pasangan terbabit, akan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Pada prosiding itu, Lufya yang juga bintang Akademi Fantasi diwakili peguam syarie Fadhlina Siddiq manakala Dr Che Muhammad diwakili peguam syarie Muhammad Hilmi Musa.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, pasangan itu masing-masing memberitahu belum memutuskan untuk melantik siapa menjadi wakil JKP mereka.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak, Laana Haura, yang kini berusia dua tahun.

Kisah pergolakan rumah tangga mereka dihidu media pada Oktober tahun lalu hingga diperkatakan ramai.

Keluarga Lufya turut kelihatan menemaninya sepanjang prosiding hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 4:30 PM