RAKAMAN kejadian yang tular di media sosial. (Dalam bulatan) Kedudukan kedua anak Norseha tercampak keluar dari kereta selepas rempuhan.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


“YA Allah, anak aku.” Itu ungkapan pertama yang terpacul daripada mulut Norseha Abdullah, 44, selepas dua anaknya tercampak keluar dari kereta dinaiki mereka yang terbabit kemalangan di Kilometer 155.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Jawi, Sabtu lalu.

Norseha yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, ketika kejadian, dia memandu Proton Saga FLX dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Lip Sin, Bayan Lepas selepas menziarah saudara di Jawi.

Menurutnya, turut berada dalam kereta tiga anaknya, Nurshakirah Mohd Hashim, 21, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, serta Nurainatasha, 13, dan Muhamad Danial Yasin, 11, yang berada di tempat duduk penumpang belakang.

“Ketika itu, saya berbual dengan anak kedua, Nurshakirah sambil memandu sebelum ternampak bayang-bayang merah yang melintasi bahagian hadapan kereta.

“Selepas itu, saya hanya ingat kereta yang dipandu dirempuh sebelum terbabas ke tepi jalan hingga membuatkan saya terkedu seketika dan tidak dapat berfikir,” katanya yang mempunyai lima anak.

Menurutnya, ketika itu dia masih tidak mengetahui yang anak keempat dan bongsunya tercampak keluar daripada kereta kerana masih dalam keadaan panik.

“Namun, tidak lama selepas itu, saya lihat kedua-dua anak berada di luar kereta dan saya terus keluar untuk melihat keadaan mereka.

“Mereka yang masih terkejut dengan kejadian itu hanya mampu menangis dan saya terus memeluk untuk menenangkan kedua-dua anak,” katanya yang ditemui di rumahnya, hari ini.

Norseha bagaimanapun bersyukur kerana dua anak yang tercampak keluar daripada kereta itu tidak mengalami kecederaan serius.

Namun, apa yang membimbangkannya sehingga kini kedua-dua mereka masih trauma dengan kejadian itu.

“Nurainatasha paling teruk dilanda trauma sehingga dia menjadi mudah terkejut selain tidak banyak bercakap seperti sebelum ini dan saya menghantarnya ke rumah ibu saudaranya di Kuala Lumpur supaya dia dapat melupakan kejadian itu.

“Anak bongsu juga turut trauma sehingga kini namun tidak seteruk dialami kakaknya itu, manakala anak kedua pula mengalami cedera di dada dan lebam badan,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu, Proton Waja merah dipandu seorang wanita warga China berusia 34 tahun hilang kawalan ketika berada di lorong kanan sebelum merempuh kereta dipandu Norseha yang berada di lorong tengah.

Pemandu Proton Waja terbabit mengalami kecederaan di leher dan kaki kiri, manakala dua anak lelaki kembarnya berusia enam tahun yang turut berada di tempat duduk penumpang belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, pemandu Proton Waja terbabit hilang kawalan bukan kerana tayar keretanya yang pecah dan setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad mengesahkan menerima laporan dan juga kejadian terbabit.

Menurutnya, polis sudah mengeluarkan saman POL 257 terhadap pemandu Proton Waja merah berkenaan.

Video kemalangan berdurasi 36 saat yang menunjukkan kedua-dua anak Norseha tercampak keluar melalui pintu kanan bahagian penumpang belakang itu tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 2:20 PM