MOHD Hamizan (kiri) bergaya dengan jubah dan topi mortar pada majlis konvokesyen anaknya, Aiman Ansari, semalam.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“ABAH nak cuba boleh? Abah tak pernah pakai,” demikian permintaan Mohd Hamizan Abd Hamid, 59, yang membuatkan anaknya, Aiman Ansari, tersentuh hati.

Aiman, 23, berkongsi kisah berkenaan di Twitter miliknya, petang semalam menerusi ciapan serta video ayahnya tersenyum gembira kerana dapat memakai jubah dan topi mortar sambil memegang jambangan bunga.

Perkongsian itu meraih lebih 882,000 tontonan oleh warganet yang rata-ratanya sebak dan berkongsi pengalaman sama ketika majlis konvokesyen masing-masing.

Menceritakan kisah sebenar, Aiman berkata, video berkenaan dirakam selepas dia menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pemasaran ketika majlis konvokesyen di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Shah Alam, Selangor, semalam.

AIMAN Ansari (dua dari kanan) bersama keluarganya pada majlis konvokesyen, semalam.

Menurut Aiman, dia tidak sangka video berdurasi tujuh saat itu akan meraih jumlah tontonan tinggi hingga tular di laman sosial kerana sekadar berkongsi gelagat ayahnya yang membuatkan hatinya tersentuh.

“Selain ibu, abah sangat teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen saya kerana sudah lama dia menanti saat untuk melihat saya naik ke pentas dan menerima skrol.

“Namun, abah datang sedikit lewat semalam dan selepas majlis konvokesyen selesai, kami sekeluarga berkumpul di luar dewan untuk mengambil gambar bersama.

“Ketika itulah, abah meminta izin untuk memakai jubah dan topi mortar dengan alasan tidak pernah menggayakannya.

“Kata-kata abah itu membuatkan saya tersentuh hingga terus menyarungkan jubah serta topi mortar di kepalanya.

“Saya sempat mengambil gambar dan merakam videonya memakai persalinan itu, tetapi terkejut apabila banyak komen diterima tidak lama selepas memuat naiknya di Twitter,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Aiman, rata-rata komen diterimanya positif dan dia berharap supaya perkongsian itu memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menghargai ibu bapa mereka selagi ada.

“Abah pernah menyambung pengajian di London satu ketika dulu, tetapi tidak berpeluang menghadiri majlis konvokesyen kerana masalah kewangan.

“Lagipun, abah anak sulung dalam keluarga jadi dia terpaksa lupakan hasrat untuk ke majlis konvokesyen demi keperluan adik beradik lain.

“Kini, giliran saya bergelar graduan, jadi inilah masanya saya menggembirakan abah dengan memenuhi permintaannya (memakai jubah dan topi mortar).

“Sekurang-kurangnya, saya dapat melaksanakan salah satu impiannya yang dulu tidak kesampaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:14 PM