Abdul Rejab bersama adiknya ketika majlis konvokesyen Dr Nur Sabrina. FOTO Ihsan Abdul Rejab Abdul Aziz
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


RUMAH hampir dilelong, permohonan bank ditolak dan mengikat perut kerana tiada wang untuk membeli makanan.

Itu antara kenangan pahit dilalui anak kelahiran Johor Bahru, Abdul Rejab Abdul Aziz, 30, sebelum bergelar usahawan hari ini.

Bukan setakat itu, Abdul Rejab juga pernah melakukan lebih daripada satu pekerjaan termasuk pengurus cawangan sebuah restoran makanan segera bagi membantu keluarga menyara adiknya, Dr Nur Sabrina Aziz, 26, ketika menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

Berkat kesabaran dan semangat tidak putus asa, Abdul Rejab dapat keluar daripada kesempitan hidup dan Oktober lalu, dia membuka outlet pertama produk sarang burung di Taman Molek, Johor Bahru.

Pembukaan outlet itu adalah salah satu kejayaannya selepas membuka sebuah syarikat perniagaan di Singapura tahun lalu.

Menceritakan latar belakangnya, Abdul Rejab berkata, dia menceburi bidang perniagaan sejak enam tahun lalu dan penat lelahnya membuahkan hasil selepas menembusi pasaran negara jiran iaitu Singapura bermula 2014 menerusi platform atas talian serta jualan langsung.

“Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini kerana banyak saya lalui antaranya menggunakan wang simpanan serta meminjam daripada keluarga untuk membayar yuran RM35,000 bagi menghadiri kelas motivasi.

“Malah beberapa perniagaan yang saya usahakan sebelum ini juga pernah terhenti di pertengahan jalan kerana tidak mendapat sambutan dan sedih bila mengenangkan kesusahan ketika itu.

“Namun, minat mengatasi segalanya dan platform laman sosial banyak membantu mengukuhkan perniagaan saya walaupun agak sukar untuk memasarkan dan memperkenalkan jenama perniagaan saya kepada umum pada peringkat awal,” katanya ketika dihubungi.

Sekalipun berdepan persaingan dan risiko dalam perniagaan, Abdul Rejab enggan mengalah kerana menganggap apa yang dilaluinya itu sebagai cabaran.

Menurutnya, sebagai usahawan, dia perlu bijak memilih perniagaan dan memasarkannya di platform sesuai selain mengatur strategi mengikut kehendak pasaran.

“Alhamdulillah selepas enam tahun berurus niaga di atas talian, impian memiliki outlet sendiri akhirnya terlaksana.

“Outlet itu dibuka untuk mengukuhkan lagi perniagaan saya dan penghargaan buat pelanggan setia yang selama ini memberi sokongan tanpa henti.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu selesa kerana jauh lagi perjalanan dalam bidang ini dan sasaran 2020 adalah membuka cawangan kedua di Singapura bagi memenuhi permintaan.

“Diharap usaha ke arah itu dipermudahkan supaya impian saya menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 8:06 PM