DR MUHAMMAD Farhan (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Dr. Fone Muhammad Sabri Azmi ketika ditemui di premis Dr. Fone. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Salman Hamat dan Muhamaad Apendy Issahak dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin
am@hmetro.com.my

BEKAS doktor siswazah ini disahkan menghidap penyakit gangguan bipolar tahap dua ketika menjalani latihan perubatan selama empat tahun di sebuah hospital di Pahang.

Lebih malang, penyakit itu menyebabkan lesen perubatannya ditarik sebelum diberhentikan kerana gagal menamatkan latihan berkenaan dalam tempoh ditetapkan pada 2015.

Biarpun kecewa tetapi peristiwa itu menjadi titik tolak kepada perubahan hidupnya yang membawanya meneroka bidang perniagaan sehingga kini bergelar usahawan berjaya.

Dr Muhammad Farhan Mohamad Nor, 31, bakal membuka cawangan kelima kedai menjual aksesori telefon bimbit di Raub, Pahang. Dua cawangan di Temerloh manakala di Jerantut dan Jengka masing-masing satu cawangan.

Lebih membanggakan setelah empat tahun mengusahakan perniagaan itu, hasil jualan empat kedai Dr Muhammad Farhan mencecah RM1.2 juta tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan dikecapinya tidak datang bergolek dan bukan mudah dia berada pada tahap ini kerana mengharungi pelbagai cabaran yang menguji semangatnya.

“Paling mencabar pandangan serong orang ramai yang melihat saya menjual aksesori telefon bimbit di pasar malam dan kaki lima selepas ditamatkan latihan perubatan.


“Ada yang memandang rendah apabila mengetahui saya menghidapi penyakit ini (gangguan bipolar) dan menganggap saya tidak mempunyai masa depan.

“Namun, segala hinaan dan sindiran ini saya jadikan sebagai perangsang untuk membuktikan mampu lebih berjaya berbanding orang lain meskipun sakit dan tidak normal,” katanya yang turut dikesan menghidap autisme tahun ini.

Katanya, dia tidak membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan untuk memula dan mengembangkan perniagaannya.

“Modal memulakan perniagaan ini RM200 daripada hasil jualan di pasar malam. Setiap keuntungan diperoleh saya mengumpulnya sehingga boleh membuka kedai pertama dan berkembang ke cawangan kelima.

“Rahsia kejayaan saya ialah sentiasa tekun, tidak berputus asa dan memberi fokus terhadap perniagaan sehingga berjaya,” katanya.

Kata graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, dia menjadi usahawan kerana minat sejak kecil dan mempelajari ilmu perniagaan menerusi laman sosial.

“Memandangkan perniagaan semakin berkembang, saya mempelajari ilmu perniagaan yang lebih tersusun bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Saya ingin menasihati doktor pelatih yang gagal menamatkan latihan supaya tidak berputus asa dan bukan bermakna kegagalan itu selama-lamanya.

“Ada banyak lagi peluang yang boleh membantu mereka lebih berjaya. Saya sendiri tidak menyangka beralih bidang daripada perubatan kepada aksesori telefon bimbit,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia merancang memperkenalkan kedai aksesori telefon bimbit menggunakan lori untuk membantu belia yang tidak mempunyai pengalaman menceburi bidang perniagaan.

“Inisiatif ini tercetus apabila melihat ramai sukar mencari pekerjaan dan perniagaan ini membuka peluang perniagaan kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:02 AM