NAQIUDDIN menunjukkan kek yang dibuatnya sebelum dihantar ke kafe pelanggannya di Ipoh. FOTO ABDULLAH YUSOF
Salman Hamat dan Muhamaad Apendy Issahak dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin
am@hmetro.com.my


MESKIPUN memiliki latar belakang dalam bidang perubatan, ia bukan jaminan seseorang itu akan terhindar daripada mengalami masalah mental.

Bagi Muhammad Naqiuddin Rozman, 27, yang juga penghidap bipolar, gangguan kesihatan dialaminya bermula dengan serangan panik, melarat kepada kemurungan hingga dia cenderung membunuh diri.

Hingga kini Muhammad Naqiuddin masih dalam proses rawatan bagi membendung penyakit dialami daripada terus memusnahkan dirinya.

Menceritakan kisahnya Muhammad Naqiuddin berkata, dia mula mengalami tanda gangguan mental selepas memulakan tugas sebagai doktor pelatih di sebuah hospital kerajaan di ibu negara.

Katanya, dia menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dari Nizhny Novgorod State Medical University atau kini dikenali dengan nama baru Privolzhsky Research Medical University di Russia, pada Julai 2017.

Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, antara faktor dia mengalami masalah itu adalah tekanan kerja, selain masalah peribadi termasuk kematian orang tersayang dua hari sebelum memulakan tugas sebagai doktor pelatih.

Menurutnya, belum sampai sebulan bertugas dia mula mengalami tanda pelik tidak disedarinya sebelum ditegur rakan sekerja selepas melihat perubahan ketara dirinya.

“Dua hari sebelum memulakan ‘housemanship’ (doktor pelatih) saya kehilangan bapa tercinta dan kira-kira tiga minggu kemudian saya mula mengalami sesak nafas, badan menggeletar hingga tidak berdaya memegang barang, selain mengalami muntah-muntah di tempat kerja.

“Keadaan menjadi semakin teruk apabila saya seperti diserang sawan hingga jatuh dan kemudian dimasukkan ke wad untuk rawatan,” katanya ketika ditemui.

Dia memberitahu hasil pemeriksaan doktor mengesahkan dia mengalami serangan panik namun masih mampu meneruskan kerja seperti biasa sebelum beberapa bulan kemudian dia mengalami simptom kemurungan pula.

“Ketika itu saya sudah tidak boleh berfungsi seperti manusia normal, badan terasa lemah dan mengalami sakit-sakit sendi terutama pada tapak kaki yang terasa seperti dicucuk jarum selain sukar tidur.

“Simptom itu semakin teruk hingga saya dimasukkan ke wad selama sembilan hari untuk menjalani rawatan termasuk penilaian daripada psikiatri dan disahkan mengalami kemurungan serta perlu menjalani rawatan rapi,” katanya.

Pemuda ini berkata, penderitaannya tidak berakhir di situ apabila doktor mula mengesan simptom yang lebih kritikal termasuk mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri selain penyakit mental dihadapi sudah di tahap serius dan disahkan menghidap bipolar.

“Pada tahap ini saya sudah mengalami delusi hingga pernah menyangka diri saya adalah juruhebah perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan merakam video kononnya membuat pengumuman dalam MRT.

“Keadaan lebih teruk apabila saya hilang pertimbangan dengan sering memandu kereta pada kelajuan tinggi yang pada waktu itu saya langsung tidak sedar dan berasa seperti berada di alam lain,” katanya yang kini meneruskan kelangsungan hidup dengan menjalankan perniagaan membuat kek.

Katanya, dia bernasib baik apabila mendapatkan rawatan awal membabitkan penyakit mental yang dialami itu hingga mampu mengawal daripada terus kritikal hingga sukar dirawat.

Membuat kek juga adalah satu seni yang memberi sedikit ketenangan jiwa kepadanya dan berharap satu hari akan dapat membuka kafe sendiri,” katanya yang menjual kek ke beberapa kafe sekitar Ipoh selain secara dalam talian melalui Instagramnya iaitu Triad of Batter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:00 AM