Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


CALON Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi, hari ini.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi daripada 128 saluran undi sehingga penjumlahan tamat, malam ini.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian, 9.15 malam ini.

Keputusan rasmi itu menunjukkan Jeck Seng menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi.

Dengan kemenangan itu, Jeck Seng kini Ahli Parlimen Tanjung Piai sekali gus merampas kembali jawatan pernah disandang bagi dua penggal sebelum ini.

Daripada 52,471 pengundi berdaftar, sejumlah 74.5 peratus pengundi melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Enam calon terbabit, calon Pakatan Harapan (PH) dari BERSATU, Karmaine Sardini, 66; calon BN dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon (GERAKAN), Wendy Subramaniam.

Turut bertanding Presiden BERJASA, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua sebuah pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.


Calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng. FOTO Arkib NSTP

Sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran akan dibuka untuk proses pengundian bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Pada 12 November lalu, 280 anggota dan pegawai polis sudah membuang undi awal bagi PRK itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai adalah pilihan raya kecil kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14, Mei tahun lalu.

Di pihak BN, Jeck Seng, 55, adalah Ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal pada 2008 hingga 2018 sebelum tewas kepada Allahyarham Md Farid pada PRU-14 dengan majoriti tipis 524 undi.

Calon PH, Karmaine Sardini, 66, pula bertanding di kawasan Parlimen bersebelahan iaitu Pontian, namun tewas kepada calon BN Datuk Seri Ahmad Maslan, juga dengan majoriti tipis 833 undi.

Jeck Seng mungkin lebih dikenali kerana pernah dua penggal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selain sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008,

Bagi Jeck Seng, beliau kembali bertanding walaupun tewas tahun lalu kerana mempunyai hubungan baik dengan penduduk dan pengundi di kawasan Tanjung Piai dan mahu terus berbakti di situ.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 9:31 PM
    Skip this ad x