YOONG Ling (kanan) dan adiknya, Yoong Sin. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PASANGAN kembar mencuri tumpuan apabila menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Alam Sekitar pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau, hari ini.

Dr Oon Yoong Ling bersama pasangannya Dr Oon Yoong Sin, masing-masing berusia 30 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur bersyukur kerana mereka mampu menamatkan pengajian mengikut tempoh ditetapkan.

Yoong Ling berkata, dia bersama adiknya itu berhempas pulas selama lima tahun dalam pengkhususan pengkajian tenaga berasaskan daripada air kumbahan.

“Sejak kecil, kami berdua gemar melakukan semua aktiviti secara bersama, malah turut berkongsi hobi sama dalam meneroka setiap perkara atau benda baharu dalam hidup.

“Namun, hari ini saya lebih gembira kerana kami mampu menggembirakan ibu bapa dengan menerima PhD dalam bidang kejuruteraan,” katanya.

Bagi Yoong Sin pula, dia lebih selesa untuk mengikut langkah kakaknya dalam melakukan sesuatu perkara.

“Memang dari kecil kakak yang banyak memberi tunjuk ajar dalam pelajaran sehingga kami menyambung pengajian bersama di UniMAP.

“Malah, dia juga tidak selesa jika saya tidak berada di depan mata kerana dia beritahu saya adalah teman suka dan dukanya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, pasangan terbabit bercita-cita menjadi penyelidik tenaga alam sekitar.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, pada istiadat konvokesyen kali ini, 3,647 graduan menerima anugerah masing-masing membabitkan lapan sidang sehingga Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 3:44 PM