Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


“Saya bersyukur masih diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan seperti orang lain iaitu memiliki pekerjaan tetap dan pendapatan bagi menyara keluarga,” kata bekas gelandangan, Zali (bukan nama sebenar), 57.

Zali, isteri dan dua anaknya pernah menjadi gelandangan selama setahun sebelum dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapatkan pekerjaan, tempat tinggal serta mendaftarkan sijil kelahiran anaknya sehingga mereka boleh belajar.

Dia kini bekerja sebagai ketua bahagian penghantaran makanan yang mengawal selia 35 penghantar makanan sejak tiga tahun lalu dengan pendapatan hingga RM2,500 sebulan.

Katanya, sebelum ini pelbagai pekerjaan dilakukan, tetapi sering ditipu dalam pembayaran gaji membuatkan dia berputus asa dan mengambil keputusan berhenti kerja.


“Sejak itu, kehidupan saya terumbang-ambing dan bertambah susah apabila tidak mampu melunaskan bayaran sewa rumah.

“Desakan hidup memaksa saya memilih kehidupan sebagai gelandangan di Jalan Pudu pada 2014 dan mengharapkan pemberian makanan percuma,” katanya yang menetap di Cheras, Selangor.

Menurutnya, kadangkala mereka empat beranak menaiki motosikal pulang ke rumah flat terbiar di Kajang yang turut menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh.

“Rumah itu sudah ditumbuhi pokok dan saya membersihkannya sebelum menetap selama setahun tanpa bekalan elektrik,” katanya yang mempunyai dua anak berusia sembilan dan enam tahun.


Zali berkata, sekali lagi dia diuji apabila dihalau dari flat berkenaan dan kembali menjadi gelandangan.

“Saya menyuarakan hasrat mahu keluar daripada gelandangan kepada NGO Humanity kerana kasihan melihat anak membesar di kaki lima.

“Melihat kepada kesungguhan saya, NGO ini membantu mendapatkan pekerjaan di syarikat pengendali penghantaran makanan pada 2016.

“Peringkat awal saya bekerja sebagai penghantar makanan dan apabila bertukar ke syarikat lain diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai ketua,” katanya.


Jelasnya, perubahan yang dia lakukan untuk membuktikan gelandangan boleh berubah, tidak malas dan bukan mengharapkan bantuan semata-mata.

“Saya berharap kisah hidup ini boleh memberi pengajaran dan inspirasi kepada mereka yang ingin melakukan anjakan dalam kehidupan.

“Biarpun sudah menjalani kehidupan baharu, saya tidak pernah melupakan kenangan lalu. Jika ada masa terluang, pasti saya melawat tempat gelandangan saya.

“Saya meluangkan masa hampir dua jam berbual dengan gelandangan lain kerana mereka adalah rakan saya yang ada bersama ketika susah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:45 AM