MANGSA dalam keadaan stabil selepas diserang buaya ketika menyeberangi jambatan di Palawan.
Agensi

SEORANG remaja lelaki berjaya menyelamatkan adik perempuannya daripada menjadi santapan buaya dengan membaling batu ke arah reptilia itu yang kemudian melepaskan kaki mangsa dalam kejadian di Palawan, baru-baru ini.

Kejadian berlaku pada Jumaat minggu lalu ketika mangsa, Haina Lisa Jose Habi, 12, dan abangnya, Hashim, 15, berjalan di atas jambatan buluh menyeberangi sebatang sungai kecil.

Tiba-tiba seekor buaya sepanjang empat meter melompat keluar dari air dan membaham betis kanan Haina, lapor Daily Mail.

Haina berkata, dia terjerlus ke dalam lubang pada jambatan itu dan buaya itu cuba mengheretnya ke dalam sungai.

Menurut Haina, Hashim bertindak pantas dengan membaling batu ke arah buaya itu yang melepaskan kakinya, sebelum abangnya menariknya ke darat.

Kanak-kanak itu memberitahu pegawai penyiasat dia ingat akan mati ketika diserang buaya itu.

“Buaya itu lebih besar dari saya. Malah, saya dapat lihat giginya. Saya sangat takut sampai menangis.

“Saya menjerit dan Hashim membantu saya dengan membaling batu sebelum mengheret saya ke tempat selamat. Saya sangat sayangkan abang, dia menyelamatkan nyawa saya,” katanya.


HAINA dihantar ke hospital selepas kakinya dibaham buaya.

Hashim memberitahu dia menyeberangi jambatan itu dulu dan terlihat adiknya terjatuh sebelum ternampak kepala buaya yang membaham kaki Haina.

“Adik tergantung dari jambatan dan saya segera menariknya,” katanya.

Polis dalam satu kenyataan berkata, mangsa mengalami kecederaan dalam pada kaki kanannya, namun dilaporkan dalam keadaan stabil di hospital.

Pihak berkuasa kini menjejaki buaya itu kerana bimbang ia akan menyerang lagi.

Sementara itu, jurucakap polis Leftenan Kolonel Socrates Faltado mengingatkan penduduk berhati-hati apabila menyeberangi sungai.

“Buaya ini memang satu ancaman. Kanak-kanak berkenaan sangat bernasib baik kerana terselamat akibat keberanian abangnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:30 AM