AIMAN harap lagubarulonjak kembali namanya.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


KURANG aktif tahun ini, penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino menyedari namanya sedikit merudum jika dibandingkan pada awal kemunculannya tiga tahun lalu.

Tampil dengan lagu baharu berjudul Benci mengisahkan individu yang dikhianati, Aiman berharap lagu itu mampu mengembalikan semula gemerlapan namanya seperti sebelum ini.

Pun begitu, Aiman tidaklah meletakkan sebarang harapan video muzik lagu berkenaan mendapat jutaan tontonan di YouTube. Baginya, cukup sekadar peminat tahu ada lagu baharu daripadanya.

“Saya tidaklah meletakkan harapan tinggi lagu Benci mendapat jumlah tontonan tinggi seperti lagu sebelum ini. Saya tidak terlalu mengejar perkara itu. Cukup peminat tahu saya ada lagu baharu.

“Memang sejak kurang aktif, interaksi peminat di media sosial juga semakin berkurangan. Apatah lagi saya juga tidak terlalu kerap berkongsi gambar. Memang nampak sangat perubahan itu.

“Oleh itu, saya harap lagu baharu ini mendapat tempat di hati peminat dan sedikit sebanyak dapat memacu kembali kerjaya tahun depan. Itu saja yang saya harapkan,” kata Aiman.

Turut melancarkan album Anugerah Terbaik memuatkan sembilan lagu, Aiman artis rakaman pertama syarikat Aries Music yang muncul dengan album penuh.

Bagaimanapun, situasi itu bukanlah bermakna dirinya ‘anak emas’ kepada syarikat berkenaan namun ia mengikut giliran memandangkan dirinya artis pertama label itu.


AIMAN pada majlis pelancaran album Anugerah Terbaik.

“Semua penyanyi di bawah Aries Music akan diberikan peluang untuk tampil dengan album penuh. Tidak timbul pun isu anak emas atau penyanyi kesayangan. Ada sistem giliran.

“Insya-Allah, selepas ini giliran Sufian Suhaimi pula. Janganlah lihat perkara ini dari sudut negatif. Apa pun, saya bersyukur kerana selepas tiga tahun dalam industri, saya akhirnya ada album sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai lagu Benci kata Aiman, ia sebenarnya berkait rapat dengan kisahnya dikhianati sahabat baik. Bagaimanapun, ia menggunakan cerita cinta dalam video muzik agar mudah diterima ramai.

“Ketika merakamkan lagu ini, saya bawa emosi ditikam dari belakang rakan baik sendiri. Namun, kalau mahu buat video muzik lagu rasa susah sikit untuk masukkan kisah itu. Jadi, yang lebih mudah adalah mengenai cinta. Tambahan pula, kalau cinta memang dekat di hati semua orang.

“Saya tidak mahu ulas secara terperinci mengenai kejadian itu kerana masih terasa sakitnya. Berkawan dari sekolah rendah, tiba-tiba dia tikam kita dari belakang. Lagi pun dia sudah bayar semula wang yang dia ambil daripada akaun dan saya anggap isu itu sudah selesai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:20 AM