AZMAN berdoa di pusara Salwati di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Kuala Kedah, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“SAYA sempat tengok wajah anak, Salwati berseri-seri ketika hendak dikafankan, malah nampak seolah-olah arwah sedang tidur.

“Saya reda dengan pemergiannya walaupun baru empat hari arwah melangsungkan majlis perkahwinannya, Sabtu lalu,” kata Zaimah Hamin, 46.

Zaimah adalah ibu kepada Salwati Yaakub, 28, pengantin baru yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 317 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Tapah, malam tadi.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan meragut nyawa anak sulungnya itu pada 12 tengah malam tadi selepas dihubungi menantunya, Azman Syah Gusti, 28.

Katanya, Salwati kelihatan sangat gembira ketika majlis pernikahannya Sabtu lalu malah dia yang sibuk menguruskan persiapan untuk majlis itu.

“Arwah kata dia nak balik sini sehari selepas majlis di sebelah pihak suaminya 24 November ini kerana mahu berbulan madu di Langkawi pada 25 November depan.

“Saya tanya dia kenapa cepat sangat dia nak balik sini, dia kata mungkin ini kali terakhir dia nak jalan-jalan di sini,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Zaimah berkata, dia sempat berpesan pada arwah dan menantunya supaya berhati-hati ketika bertolak ke Kuala Lumpur pada 6 petang semalam.

Katanya, ketika itu tak nampak banyak sangat petanda pada Salwati, cuma dia kelihatan gembira dan riang sepanjang pulang ke kampung kali ini.

“Ayahnya, Yaakob Bahrin, 50, baru saja meninggal dunia dalam perahu ketika menangkap ikan di laut pada Mac lalu dan kini saya kehilangan arwah anak pula.

“Segala khemah kenduri pada hari majlis perkahwinannya baru ditanggalkan, semalam tetapi dipasang semula hari ini untuk menyambut jenazahnya,” katanya.

Zaimah berkata, arwah bertugas sebagai akauntan dan tinggal di Ampang, Selangor manakala menantunya bekerja sebagai juruteknik di ibu negara.

Katanya, sebaik menerima berita kemalangan mengenai anaknya, dia bergegas ke Hospital Tapah untuk melihat keadaan jenazah anaknya.

“Saya masih sibuk mengemas barang hantaran dan kenduri, tapi tak sangka pula ia akan berakhir dengan kesedihan,” katanya.

Jenazah Salwati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Kuala Kedah pada 6.30 petang hari ini.

Sementara itu, bapa mentua Salwati, Gusti Tasir, 56, berkata, pihaknya sedang berbincang sama ada untuk meneruskan majlis perkahwinan itu atau sebaliknya.

Katanya, arwah menantunya seorang yang sangat baik dan periang, malah sebelum kejadian Salwati banyak bersembang dengannya.

“Ini menantu kedua saya...sebaik menerima berita arwah dah tak ada, saya dan isteri menangis kerana susah nak dapat menantu sebaik arwah.

“Dia cakap pun lembut dan baik sebab tu saya tertarik dengan arwah,” katanya.

Kemalangan tujuh kenderaan malam tadi membabitkan 13 mangsa termasuk dua daripadanya maut.

Berita berkaitan

Empat maut nahas tujuh kenderaan

[UPDATE] Identiti mangsa dikenal pasti [METROTV]

[UPDATE] Mangsa maut rupanya pengantin baru

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 8:41 PM