MUHAMMAD Faez memeluk Razali selepas menghadiahkan motosikal sempena hari lahir ayahnya.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA sudah lama menyimpan niat untuk menghadiahkan motosikal kepada ayah dan akhirnya, impian itu terlaksana jua,” kata tukang gunting rambut, Muhammad Faez Razali.

Muhammad Faez, 28, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai video berdurasi dua minit 20 saat yang dimuat naiknya di Twitter, semalam.

Menerusi video berkenaan, Muhammad Faez dilihat menyerahkan kunci motosikal sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahiran ayahnya, Razali Abdul Rahman, 60.

Perkongsian video itu mengundang rasa sebak warganet yang memuji tindakan Muhammad Faez kerana menggembirakan ayah dan menyifatkannya sebagai anak mengenang jasa orang tua.

Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih 159,000 tontonan, 10,300 tanda suka dan 8,300 ulang ciap oleh warganet.

Muhammad Faez berkata, video itu dirakam dengan bantuan kakaknya, Nur Aween, 30, pada Sabtu lalu.

Menurutnya, ayahnya tidak berani memandu kereta dan sejak dulu, dia lebih selesa menunggang motosikal untuk ke tempat kerja atau destinasi lain.

“Disebabkan itu, saya rancang menghadiahkan motosikal Yamaha Lagenda sempena hari jadinya pada 20 Oktober lalu, tetapi terpaksa menunda tarikh membuat kejutan kerana perlu menempahnya (motosikal) terlebih dulu dan menunggu selama tiga minggu.

“Bagi memastikan kejutan itu dibuat tanpa pengetahuannya, saya mengajak ayah ke luar rumah kononnya untuk melihat motosikal baru dibeli sebelum menyerahkan kunci kepadanya.

“Mulanya, ayah marah kerana menganggap saya membazir, tetapi akhirnya dia berterima kasih dengan pemberian itu selepas mendengar penjelasan saya.

“Ayah sangat terharu dan reaksinya itu yang membuatkan saya mengalirkan air mata,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Faez berkata, motosikal itu bukan dibeli secara tunai, sebaliknya ansuran dan dia tidak rasa terbeban dengan komitmen bulanan akan ditanggung.

Malah, katanya, dia gembira kerana dapat menggembirakan ayahnya dan video dimuat naiknya di Twitter itu sekadar untuk berkongsi detik berkenaan dengan rakan di laman sosial.

“Namun, lain pula jadinya apabila video berkenaan mendapat perhatian pengikut Twitter lain dengan majoritinya memberi komen positif.

“Saya tiada niat menunjuk sebaliknya cuba lakukan apa dipesan individu sekeliling iaitu menggembirakan ibu dan ayah selagi mereka ada di dunia ini.

“Diharap, perkongsian itu memberi inspirasi dan diambil daripada sudut positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 8:26 PM