MOHAMMAD Azizan menceritakan detik dirinya ditikam abang teman wanitanya, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


“KETIKA bersarapan pagi semalam, saya berasa tidak sedap hati dan tergerak mahu membawa Masitah pulang ke rumah keluarganya untuk menjenguk ibunya.

“Saya berasa seolah-olah ada sesuatu buruk akan berlaku, tidak sangka pula telahan saya itu menjadi kenyataan,” kata Mohammad Azizan Awang, 38.

Dia adalah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian tikam yang mengorbankan warga emas, Sefiah Hamid, 62, di Taman Kampung Padang, Kuantan, semalam.

Kejadian itu turut mencederakan anak perempuan tunggal Sefiah iaitu Masitah Mustafa, 26, yang juga teman wanita Mohammad Azizan.

Katanya, dia mengambil Masitah selepas wanita itu selesai bekerja syif di pasar raya 24 jam di Bukit Sekilau sebelum membawanya bersarapan.

Menurutnya, Masitah mahu menghantar makanan sarapan kepada ibunya dan suspek yang juga abang kandungnya, namun apabila sampai di selekoh di kawasan perumahannya dia melihat suspek sedang menolak ibu Masitah dengan menaiki kerusi roda.

“Apabila menyedari kehadiran kami, abang Masitah yang ketika itu mempunyai kesan darah pada bajunya terus menikam lengan kanan saya dan menyebabkan kami berdua jatuh dari motosikal.

“Abang Masitah kemudiannya menikam Masitah beberapa kali sebelum orang ramai yang berada di tempat kejadian menangkapnya (suspek),” katanya ketika ditemui di Wad Kiambang 5B, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di Kuantan, hari ini.

Katanya, dia cuba menyelamatkan Masitah daripada ditikam suspek yang berusia 38 tahun itu, tetapi gagal kerana badannya dihempap motosikal dinaiki mereka.

Dalam kejadian 8.30 pagi semalam, mayat Sefiah ditemui di atas kerusi roda dengan kesan tikaman di leher kirinya.

Mangsa dibunuh di bahagian ruang tamu rumahnya dan suspek membawa mayat ibunya sejauh 50 meter sebelum kejadian itu disedari orang ramai.

Mohammad Azizan berkata, dia sudah berkawan dengan Masitah lebih lima tahun lalu dan sangat mengenali keluarga Masitah, namun tidak menyangka suspek akan bertindak sedemikian kerana dia seorang yang pendiam.

Katanya, dia mengetahui suspek mengalami masalah mental dan bergantung kepada ubat, namun sepanjang pengetahuannya suspek tidak pernah berkelakuan agresif .

“Kali terakhir saya bertemu makcik (ibu Masitah) dan abang Masitah pada minggu lepas, ketika itu kami makan malam bersama di rumah mereka, makcik memang tidak boleh bergerak, sekadar terlantar saja sejak beberapa bulan selepas terjatuh.

“Sebelum ini, mereka sekeluarga tinggal di Bukit Sekilau namun selepas abang Masitah dibenarkan keluar dari hospital mereka berpindah ke kampung di Nenasi, Pekan sebelum tinggal di Taman Kampung Padang sejak setahun lalu,” katanya.

Dia yang bekerja kontrak berkata, selain suspek dan ibunya, rumah berkenaan turut didiami adik bongsu Masitah, namun ketika kejadian lelaki berkenaan tiada di rumah kerana keluar untuk mengambil lesen memandu.

Masitah yang dirawat di hospital sama dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun usaha untuk bertemu dengannya gagal berikutan mangsa enggan ditemu bual.

Berita berkaitan

Lelaki bunuh ibu direman di wad psikiatrik

[UPDATE] 'Aku dah bunuh mak aku'

[UPDATE] Tikam, bawa mayat ibu atas kerusi roda

Wanita maut ditikam anak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:32 PM