SALWATI Yaakob,28, (kanan) meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 317 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan manakala suaminya Azman Syah Gusti,28, cedera. FOTO Ihsan Keluarga
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


WANITA yang maut dalam kemalangan di Kilometer 317 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Tapah, dekat Tapah, lewat malam tadi baru melangsungkan pernikahan pada Sabtu lalu.

Salwati Yaakob, 28, bersama suaminya, Azman Syah Gusti, 28, serta seorang rakannya Radhiah Sumeli, 28, dalam perjalanan menaiki Perodua Myvi dari Kuala Kedah, Kedah ke Sungai Buloh, Selangor untuk majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dijadualkan pada 23 dan 24 November ini.

Azman Syah berkata, sebelum kejadian, isterinya sering tersenyum dan mengatakan suka melihatnya ketika memandu.

"Isteri saya suka tersenyum dan suka melihat saya (semasa saya memandu) sepanjang perjalanan.

"Sudah tentu saya sedih kerana kami baru melangsungkan pernikahan Sabtu lalu, namun saya reda walaupun sedih dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah, di sini hari ini.

Azman yang bekerja sebagai juruteknik di Setapak, Kuala Lumpur turut cedera jari kanan dalam kemalangan kira-kira 11 malam itu dan rakan mereka, Radhiah patah kaki kiri.

Menurutnya, segala persiapan bagi majlis di pihaknya sudah disediakan termasuk bapanya sudah menempah lembu serta lebih 500 kad undangan sudah diedarkan.

Ibu mangsa, Zaimah Hamim, 46, pula berkata, anak sulungnya dari tujuh beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum bertolak ke Selangor pada 6 petang semalam.

"Kami berborak seperti biasa sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur, tidak nampak apa-apa perubahan pun," katanya memaklumkan anaknya itu bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan berkenaan, Rosli Abdul Majid, 52, pula berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor untuk menghantar muatan kertas yang dibawa.

"Kemalangan awal berlaku antara lori penghantaran barangan pos dengan Perodua Myvi serta satu lagi lori yang kemudian meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan berlaku.

"Saya cuba mengelak, namun kenderaan hilang kawalan sebelum merempuh Mitsubishi Pajero mengakibatkan pacuan empat roda itu terhimpit antara treler saya dengan lori penghantaran barangan pos," katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan menunggu trak tunda untuk menunda trelernya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin memaklumkan secara keseluruhan lapan kenderaan terbabit dalam kemalangan itu membabitkan 14 mangsa kesemuanya dengan dua maut manakala tiga cedera dan sembilan lagi terselamat.

Menurutnya, kenderaan yang terbabit adalah treler muatan kertas, lori penghantaran barangan pos, treler muatan gula, Mitsubishi Pajero, Perodua Myvi, Honda Accord, Perodua Axia dan sebuah lagi kenderaan yang belum dikenal pasti.

Katanya, mangsa yang maut adalah penumpang hadapan Perodua Myvi, Salwati Yaakob, 28, dan penumpang belakang Mitsubishi Pajero, Beh Xiu Zhung, 5.

Berita berkaitan

Empat maut nahas tujuh kenderaan

[UPDATE] Identiti mangsa dikenal pasti [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 12:33 PM