ALIFF berharap tahun hadapan akan memberikan sesuatu yang bermakna buat dirinya. FOTO S Hafiza
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“SAYA pun tak ingat apa yang terjadi waktu itu. Saya juga tak nak jelaskan lebih lanjut sebab sudah banyak cerita yang keluar,” kata penyanyi dan pelakon kontroversi, Aliff Aziz mengenai penahanannya yang didakwa menganggu ketenteraman di tempat awam dalam keadaan mabuk di Singapura, Ahad lalu.

Aliff, 28, atau nama sebenarnya Mohamad Alif Aziz berkata demikian menerusi rakaman video yang dimuat naik ibunya, S Hafiza Basharahil di Facebook hari ini.

Menerusi video itu, Aliff berkata, insiden yang menimpa dirinya itu begitu berat secara spiritual dan mental.

“Apa boleh dikatakan, ia sangat berat untuk saya secara spiritual mahupun mental. Tapi, Insya Allah, selagi bernyawa saya akan teruskan hidup,” katanya.

Dalam masa sama, Aliff berkata, dia berterima kasih kepada semua yang menghantar mesej terus (DM) di Instagram yang mendoakan kesejahteraan dirinya.

“Saya ada juga terima DM yang sangat ambil berat. Dari lubuk hati yang dalam, saya nak ucapkan terima kasih. Sekurang-kurangnya masih ada orang yang baik hati. Teruskan berdoa yang baik-baik.

“Tahun ini saya sudah lalui banyak perkara dan cabaran. Saya berharap akan lebih kuat dengan adanya sokongan daripada keluarga, ayah, adik dan umi,” katanya.

Aliff berkata, dia tidak mahu membalas cakap-cakap negatif yang dilemparkan kepadanya kerana menganggap itu adalah pahala buat dirinya.

“Kita tak nampak dosa pahala kita. Begitu juga saya sendiri. Tapi, saya berharap apabila di akhirat kelak kita mendapat ganjaran besar. Walaupun kita tak buat di dunia, tapi cakap-cakap buruk orang terhadap saya adalah pahala untuk saya,” katanya.

Dalam video itu juga, Aliff berharap tahun hadapan akan memberikan sesuatu yang bermakna buat dirinya.

”Mungkin ada hikmah besar tahun depan. Insya Allah,” katanya.

Mererusi video itu juga, ibunya sempat bertanya pendapat apabila dirinya dikatakan seperti kanak-kanak kerana menjerit dan memanggil nama bapanya.

“Apa pun yang terjadi, malah jika umur saya 40 atau 50 tahun sekali pun dan jika ayah masih hidup, saya akan tetap memanggilnya,” katanya.

Dalam video itu, S Hafiza turut menasihati Aliff supaya sentiasa belajar daripada kesilapan.

“Move on, buat yang terbaik dan selalu belajar dari kesilapan. Apa yang penting, awak (Aliff) perlu tahu apa pun terjadi, keluarga sentiasa ada. Kita takkan letakkan awak di tepi,” katanya.

S Hafiza juga merakamkan terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa memberikan semangat dan sokongan moral buat Aliff dan keluarganya.

“Saya nak berterima kasih kepada semua yang memberikan DM. 99.9 peratus memberikan kata positif dan sokongan moral.

“Terus pandang ke depan. Setiap apa yang berlaku bersebab. Saya doakan abang (Aliff) setiap hari. Walaupun abang kadang-kadang masih tergelincir, saya tetap doakan dan takkan berhenti,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan yang memetik laporan portal Berita Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan penangkapan terbabit selepas penyanyi itu didapati bergaduh dengan seorang lelaki kira-kira jam 6.40 pagi di kawasan Orchard Road, Ahad lalu.

Sebelumnya, dua video tular menunjukkan Aliff bergelut dengan anggota polis di kawasan Orchard Road.

Menerusi video terbabit, Aliff dikatakan cuba menghubungi bapanya bagi mendapatkan bantuan.

Bekas suami penyanyi, Bella Astillah itu menjerit-jerit memberitahu bapanya menerusi telefon bahawa ada orang sedang memukulnya.

Kemudian, dua kereta polis tiba di lokasi kejadian dan tiga lagi pegawai polis bergegas membantu dua pegawai di tempat kejadian yang masih cuba menggari Aliff.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 8:05 AM