YASIR membina kandang lembu sementara sebagai persediaan menghadapi musim banjir di Kampung Derdap.
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


BAGI menghadapi musim banjir yang dijangka melanda negeri ini akhir bulan ini, penduduk kampung di lokasi terjejas di daerah ini mula membuat persediaan termasuk menyelamatkan haiwan ternakan.

Ada yang meninggikan kandang dengan menambun tanah dan ada juga yang membina kandang sementara di lokasi lebih selamat.

Penduduk dari Kampung Derdap, Yasir Ab Rahman, 49, berkata, dia mula membina kandang sementara untuk 30 itik peliharaannya yang dipindahkan bila-bila masa sebaik berlaku hujan lebat.

Dia berkata, pemindahan itu juga dibuat sekiranya berlaku limpahan air dari Sungai Golok yang hanya beberapa meter dari rumahnya.

“Kandang ini saya buat sejak beberapa hari lalu dan hanya menunggu masa untuk memindahkan itik. Selain itu, kandang untuk tiga lembu juga sudah ditambun tanah menjadikannya sedikit tinggi bagi mengelakkan ditenggelami air,” katanya, kelmarin.

Yasir berkata, kandang lembu peliharaannya juga sudah disediakan timbunan kayu api yang akan digunakan untuk memanaskan binatang itu ketika banjir.

Menurutnya, semua penduduk di beberapa kampung sekitar Pengkalan Kubor yang sering dilanda banjir akan menyelamatkan haiwan peliharaan mereka dengan cara itu, malah di sepanjang Jalan Kesban akan dipenuhi kandang sementara yang dibina pemilik haiwan.

“Hujan lebat menyebabkan berlaku banjir termenung yang memakan masa beberapa minggu untuk surut.

“Selagi air belum surut, haiwan peliharaan tidak akan dipindahkan ke kandang asal dan dalam tempoh itu, kami mengawal haiwan ini daripada dicuri,” katanya.

Selain membina kandang haiwan peliharaan, penduduk kampung juga mencuci bot dan memeriksa keadaan enjin untuk digunakan ketika banjir.

Bagi Ariffin Awang Chik, 59, dia bersiap sedia untuk menurunkan botnya bagi kegunaan membantu memindahkan mangsa banjir terutama di kampung yang sukar dilalui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:45 AM