PEMBELI rumah berkumpul bagi meluahkan rasa tidak puas hati kepada pemaju akibat projek perumahan terbengkalai di Taman Rembau Bayu, Pekan Rembau.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


“SAYA sedih, impian untuk tinggal bersama anak dan cucu di rumah yang dibeli sejak enam tahun lalu belum tercapai kerana terbengkalai,” kata Abdul Aziz Hamid, 67, salah seorang mangsa projek rumah terbengkalai di Taman Rembau Bayu.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Rembau Bayu berkata, projek perumahan itu bermula pada 2013 dan dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun, namun gagal disiapkan pemaju.

Akibatnya, seramai 27 pembeli terpaksa menanggung beban bayaran bulanan antara RM1,200 hingga RM1,500 kepada bank walaupun rumah yang dibeli terbengkalai.

Katanya, dia mengumpul wang selama puluhan tahun untuk membeli rumah teres dua tingkat itu, tetapi kecewa apabila rumah yang dibeli terbengkalai dan terpaksa melupakan impian menduduki rumah baru selepas bersara.

“Pada mulanya projek perumahan itu berjalan lancar namun lama-kelamaan perjalanan projek perlahan sehingga dihentikan. Pemaju beri alasan tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk meneruskan projek.

“Pembeli mendesak pemaju supaya menyiapkan projek itu, tetapi gagal. Malah, saya bersama ahli jawatankuasa mengambil tanggungjawab menyelesaikan masalah ini termasuk mengadakan perjumpaan bersama wakil rakyat dan pemaju namun tiada jalan penyelesaian diambil.

“Malah, kami sudah beberapa kali membawa isu ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), tetapi keputusan diterima mengecewakan. Projek perumahan kami disenaraikan sebagai projek sakit oleh kerajaan sebelum diisytiharkan terbengkalai tahun lalu,” katanya.

Beliau bersama 10 pembeli mengadakan himpunan aman memohon campur tangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bagi menyelesaikan projek perumahan terbengkalai di Taman Rembau Bayu, semalam.

Projek membabitkan 34 rumah teres dua tingkat yang dijual pada harga antara RM250,000 hingga RM320,000 itu sepatutnya siap empat tahun lalu, tetapi hanya siap dibina antara 50 hingga 80 peratus.

Salah seorang pembeli, Mohd Fadli Hassan, 52, berkata, dia membeli rumah melalui pinjaman bank dan kini terpaksa membayar pinjaman berjumlah RM1,500 sebulan, selain sewa rumah sebanyak RM500 sebulan.

“Kebanyakan pembeli membuat pinjaman seperti saya dan kami terpaksa membayar setiap bulan walaupun tidak dapat menduduki rumah ini. Saya berharap kerajaan membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:35 AM