SAFAWI
Sukan HM

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid mengakui pentas Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) sebagai pencetus semangat buat mana-mana pemain untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Jelasnya, berada di pentas berprestij itu adalah pengiktirafan tertinggi dalam arena bola sepak tempatan dan pemain perlu berusaha keras untuk menggapai impian itu.

“Memang bukan saya saja yang suka dan berbangga dengan anugerah ini, malah pemain lain juga kerana ia seperti menghargai jasa kami yang bermain dalam Liga Malaysia dan meningkatkan lagi semangat untuk berlatih dua kali ganda bagi mendapatkan trofi itu pada masa akan datang.

“Tahun lalu saya dapat anugerah MVP (Pemain Paling Bernilai) dan dua trofi dalam usia muda, kalau boleh memanglah saya nak dapat lagi MVP tahun ini, tetapi saingan agak sengit. Saya berharap peminat akan terus menyokong perjalanan karier saya,” katanya.

Bagi ABK 2019 yang akan berlangsung Jumaat ini, pemain berusia 22 tahun itu berada dalam pencalonan akhir bersama penyerang senior, Norshahrul Idlan Talaha (Pahang) dan J Partiban (Perak) untuk merebut gelaran Penyerang Terbaik.

Safawi bagaimanapun mengakui bukan mudah untuknya mempertahankan gelaran yang dimenangi selepas merangkul trofi MVP, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan ABK 2018.

Jelasnya, anugerah MVP pastinya akan diberikan kepada pemain yang benar-benar layak dan Safawi tidak menolak musim ini begitu mencabar berikutan ramai pemain lain yang menyerlah.

“Saya rasa saingan sangat kuat sebab ramai yang berada dalam prestasi baik sekarang ini dan saya tidak kisah siapa yang akan mendapat gelaran MVP janji saya dicalonkan, itu pun sudah cukup baik untuk karier bola sepak saya,” katanya.

Seandainya Safawi berjaya meraih gelaran MVP sekali lagi, anak jati Terengganu ini tidak menolak ia akan menjadi pelengkap yang amat manis dalam kariernya musim ini selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala Malaysia.

Sementara itu, pencabar terdekat Safawi bagi Anugerah Penyerang Terbaik, Norshahrul Idlan Talaha turut menyimpan hasrat menggenggam trofi itu sekali lagi selepas 2012, selain gelaran MVP pada tahun sama ketika bersama Kelantan.

“Kalau boleh memang saya ingin kembali memenangi anugerah ini yang pernah berikan kenangan istimewa kepada saya sepanjang bergelar pemain dan menaikkan nama saya satu ketika dulu.

“Secara tidak langsung pengiktirafan itu boleh memberikan kembali keyakinan kepada saya ketika beraksi,” katanya yang mesra disapa Matyo.

Dalam pada itu bagi penyerang The Bos Gaurus, J Partiban pula berkongsi perasaan berbeza.

“Sudah semestinya saya terkejut apabila tercalon buat kali pertama kerana bukan senang untuk mana-mana pemain tercalon. Apa-apa pun, pesaing saya iaitu Safawi dan Matyo sememangnya layak untuk berada di ‘top 3’ dan saya berbangga dapat bersaing bersama pemain hebat seperti mereka,” kata Partiban.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:30 AM