REPLIKA al-Quran adalah replika asal dalam logo UIAM yang diletakkan di pintu masuk utama.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


REPLIKA keris yang diletakkan di hadapan pintu masuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipindahkan ke Tapak Warisan bagi menggantikan replika al-Quran sebagai replika asal dalam logo universiti berkenaan.

Tinjauan Harian Metro mendapati replika keris itu dipindahkan kira-kira 200 meter dari tapak asal dan bukannya ‘dibuang’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Malah, replika keris itu sudah dipasang di tapak warisan sebagai rujukan pelajar Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk (KAED).

Presiden UIAM Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, ia adalah satu detik yang bersejarah kerana replika al-Quran adalah replika asal dalam logo UIAM.

Beliau berkata, pemasangan replika al-Quran adalah mercu tanda baharu UIAM.

“Replika pertama di UIAM sejak penubuhannya adalah sebuah tugu melambangkan huruf Alif sebagai simbolik kepada Iqra.

“Ia kemudian ditukar kepada keris sejak 2014 sebelum ia dipindahkan ke tapak warisan sempena keputeraan Nabi Muhammad SAW, Sabtu lalu.

“Saya pernah usulkan kepada pihak UIAM supaya mempertimbangkan meletakkan keris di tempat yang sesuai dengan kehebatannya dan meletakkan Mushaf sebagai replika utama UIAM sesuai dengan logo asalnya,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.


REPLIKA keris yang digantikan dengan replika al-Quran pada pintu masuk utama UIAM Gombak.

Menurutnya, ia adalah lebih tepat dan bersesuaian dengan asal usul dan genesis UIAM.

“Bagi saya replika keris perlu juga disanjung dan diletakkan di lokasi yang bersesuaian.

“Kos perbelanjaan mengantikan replika keris dengan mushaf tidak membabitkan bajet UIAM.

“Ia digerak dan disokong oleh sumbangan dan derma beberapa individu dan agensi,” katanya.

Mohd Daud berkata, semoga sumbangan mereka menjadi amal ibadah mengusung replika al-Quran di persada utama sebagai simbolik kitab panduan yang bijaksana, berimpak dan berilham.

“Replika yang berbentuk mushaf atau al-Quran yang terbuka ini adalah simbolik paling tepat bagi fraterniti keilmuan yang menadah dan memohon hidayah serta ilmu dari langit untuk kelestarian pembinaan ilmu untuk kebajikan manusia sejagat.

“Semoga Allah SWT merahmati UIAM dan semua pusat pengajian di mana sahaja di muka bumi ini. Keilmuan adalah pintu hidayah dan kunci kepada keilmuan adalah al-Quran,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai teguran bekas Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim tentang tindakan universiti itu mengalihkan monumen keris di pintu masuk universiti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:40 AM