HATTA bersama lukisan 3D. FOTO Ihsan Hatta Hashim
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

SANGGUP tinggalkan pendapatan lumayan bekerja di pelantar minyak demi meneruskan minat dalam seni lukis.

Namun, keputusan menceburi karya seni jalanan atau mural tiga dimensi (3D) sebagai sumber pendapatan tetap satu langkah tepat apabila hasil seni terbabit semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.

Tindakan Hatta Hashim, 35, membuahkan hasil apabila lukisannya mendapat perhatian dan tempahan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan agensi kerajaan.

Malah, dia kini meraih pendapatan lumayan dengan menghasilkan lukisan mural 3D bagi menghiasi dinding dan lorong-lorong jalanan sebagai tarikan kepada pengunjung, selain mencantikkan lagi pemandangan sesuatu kawasan.

Menceritakan pembabitannya dalam karya seni jalanan, Hatta berkata, sejak di bangku sekolah dia memang meminati seni lukisan sama seperti bapanya.

Bagaimanapun, dia terpaksa melupakan hasratnya untuk menjadi pelukis kerana terlalu banyak persaingan dan ramai yang mampu melukis dan menghasilkan karya seni.


LUKISAN 3D yang dihasilkan Hatta Hashim. FOTO Ihsan Hatta Hashim

“Disebabkan itu, saya membuat pilihan bekerja di pelantar minyak dan menjadikan minat itu sebagai hobi pada waktu lapang saja.

“Bagaimanapun, saya mula menceburi seni lukisan mural selepas diminta seorang guru tadika di Dungun, untuk menghiasi dinding premis terbabit kerana dia tahu saya boleh melukis.

“Bermula dari situ lukisan mural yang dihasilkan, saya mula mendapat permintaan dan mengambil keputusan berhenti kerja serta menjadikan karya seni jalanan sebagai sumber pendapatan utama,” katanya.

Dia yang kini sudah lima tahun menceburi bidang seni lukisan mural berkata, pada permulaan pembabitannya dia hanya mengambil upah menghasilkan mural biasa mengikut permintaan pelanggan.

“Pada mulanya saya hanya membuat lukisan mural biasa selama tiga tahun. Namun, selepas itu saya mengembangkan bakat apabila mendapati mural 3D semakin mendapat sambutan di dalam dan luar negara.

“Saya hanya mempelajarinya menerusi portal, blog dan YouTube untuk menghasilkan mural 3D dan Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil.

“Malah, hasil mural 3D yang saya hasilkan turut menarik perhatian orang ramai sehingga menjadi tular di media sosial antaranya lukisan mural 3D lintasan pejalan kaki di Dapo Pata, Tok Jembal dan perahu lama yang dihasilkan di Gong Badak, tahun lalu,” katanya.


LUKISAN 3D lintasan pejalan kaki di Dapo Pata, Tok Jembal. FOTO Ihsan Hatta Hashim

Anak jati kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu berkata, sehingga kini lebih 100 mural dihasilkannya di dalam negara.

Katanya, upah menghasilkan mural antara RM15 hingga RM25 sekaki persegi bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Bayaran yang paling tinggi diterima setakat ini adalah RM20,000 bagi menghasilkan beberapa mural 3D untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan kini dalam proses serta setiap satu lukisan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan.

“Buat masa ini saya hanya lakukan seorang diri, jika ikutkan saya perlu ada pekerja kerana terlalu banyak tempahan tetapi disebabkan sukar untuk mencari pekerja yang mempunyai bakat menghasilkan lukisan mural 3D saya terpaksa lakukan sendirian.

“Memang ramai yang boleh melukis tapi tidak ramai yang boleh menghasilkan mural 3D yang bermutu dan buat masa ini terlalu ramai persaingan terutamanya di Pantai Timur,” katanya.


PERAHU lama tarikan Gong Badak. FOTO Ihsan Hatta Hashim

Menurutnya, sehingga kini tempahan diterima untuk menghasilkan mural 3D sudah penuh sehingga hujung tahun ini.

“Tidak rugi jika ada yang berbakat dalam seni lukisan menceburkan diri dalam bidang lukisan mural 3D kerana mendapat permintaan daripada pelbagai pihak bagi menjadikan sesuatu kawasan atau premis mereka menjadi tarikan.

“Malah, masyarakat kini gemar mengunjungi lokasi mempunyai lukisan mural 3D untuk mengambil gambar selain dimuat naik di media sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:45 AM