Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“SAYA tak ingat apa, lepas kena tikam terus lari dan pandu kereta ke hospital,” kata guru yang ditikam suaminya dalam kejadian di Putrajaya semalam.

Mangsa berkata, dia tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk terus memandu ke hospital bagi menyelamatkan diri dan bayi dalam kandungannya.

Menurut wanita berusia 35 tahun itu, suaminya memang mengalami kemurungan sehingga terpaksa mengambil ubat bagi mengurangkan tekanan.

Bagaimanapun katanya, lelaki berusia 39 tahun itu tidak pernah berkasar sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak termasuk yang baru dilahirkan semalam dengan sulung berusia enam tahun dan kedua empat tahun.

Katanya, kedua-dua anak mereka menyaksikan kejadian itu.

“Mereka sangat trauma sekarang,” katanya yang merancang pulang ke kampung di Kedah selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Akibat kejadian itu mangsa mengalami luka pada perut dan jari kiri, lengan kanan serta di belakang kanan badan.

Dalam kejadian 9.50 pagi semalam mangsa yang sarat mengandung memandu sendiri hampir tiga kilometer dari kediamannya di Presint 9 ke Hospital Putrajaya dalam keadaan berlumuran darah selepas ditikam suaminya di rumah mereka.

Sebaik tiba di hospital, wanita itu terpaksa menjalani pembedahan bagi menyelamatkan kandungan berusia 37 minggu itu.

Bayi lelaki itu berjaya dilahirkan melalui pembedahan dan keadaannya stabil serta tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, sumber keluarga memberitahu lelaki itu bercadang berpindah balik ke Melaka selepas isterinya bersalin.

Menurutnya, ketika ditahan lelaki itu tidak melawan dan berkurung dalam bilik dengan membiarkan pintu rumah terbuka.

Berita berkaitan

Guru hamil ditikam suami

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:40 PM