MOHAMMAD Aimin meninggal dunia akibat dipukul di pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang, kelmarin. FOTO ihsan pembaca.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


CEMBURU melihat Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, lebih mesra serta manja dengan guru dan warden menjadi punca pelajar tahfiz itu dipukul sehingga mati, kelmarin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, mangsa adalah pelajar paling muda di pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu.

“Mangsa agak manja dengan pentadbir iaitu suami isteri yang bertindak sebagai tenaga pengajar dan warden di pusat tahfiz itu.

“Timbul rasa cemburu dalam kalangan pelajar lain yang menyebabkan berlakunya pergaduhan sebelum mereka memukul mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh wardennya di dalam bilik asramanya.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam di badan mangsa dipercayai akibat dipukul.

Polis kemudiannya menahan tiga pelajar pusat tahfiz itu termasuk abang tiri mangsa untuk siasatan lanjut.

Abd Jalil berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh semalam mendapati terdapat impak di bahagian dada dan abdomen mangsa.

“Terdapat kesan trauma pada bahagian dada dan abdomen mangsa oleh impak dengan permukaan atau objek yang tumpul dan keras.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang berusia 13 tahun direman selama tujuh hari sehingga 14 November ini untuk siasatan lanjut.

Berita berkaitan

'Periksa dulu status pusat tahfiz - TPM'

'Warden terkejut ada lebam'

'Pusat tahfiz diarah tutup'

'Pelajar tahfiz maut dipukul [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 4:47 PM