Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


“SAYA tidak pernah mendengar mereka (pelajar tahfiz) bergaduh dan selama ini hubungan mereka baik saja,” kata Siti Noor Asilah Samsuri, 39.

Dia adalah warden pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang yang mana seorang pelajarnya meninggal dunia dipercayai dipukul rakan, kelmarin.

Mangsa, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk menerima rawatan jam 1 tengah hari.

Siti Noor Asilah berkata, mangsa tidak pernah mengadu sama ada dia pernah dipukul rakan dan dia menyangka mangsa tiada masalah dengan tiga pelajar lain.

Menceritakan kejadian kelmarin, katanya, dia menjenguk ke dalam bilik asrama melihat keadaan Mohammad Aimin selepas mangsa didapati tidak menyertai rakan ke masjid menunaikan Solat Zohor.

“Ketika masuk ke bilik saya melihat Aimin terbaring di atas katil dan saya bertanya keadaannya..Aimin berkata, dia terlalu penat dan tidak larat untuk bangun.

“Saya memegang tangan, kaki dan leher Aimin dan mendapati ianya sejuk sebelum saya serta suami membawanya ke klinik kesihatan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini, semalam.

Katanya, tidak lama kemudian doktor memaklumkan Mohammad Aimin sudah tiada dan apa yang mengejutkan ada kesam lebam di badan.

Siti Noor Asilah berkata, Mohammad Aimin baru kembali ke asrama Ahad lalu selepas diberi cuti sejak Khamis dan pulang ke rumahnya di Kampung Charuk Puting.

“Saya tidak perasan kesan lebam pada badannya sebelum ini dan terkejut apabila doktor memaklumkan ada beberapa kesan itu pada badan Aimin,” katanya.

Maahad tahfiz itu diusahakan bersama suaminya, Mohd Heesham Mat Yeh, 39, yang turut menjadi tenaga pengajar dan mula mengambil pelajar sejak awal tahun ini.

AHLI keluarga mengangkat jenazah Aimin keluar dari HoSHAS, semalam.

Pelajar tahfiz maut dipukul [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 11:16 AM