IZARA dan Remy puas hati masing-masing berikan yang terbaik untuk drama Ombak Rindu The Series.
Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


SELAIN berwajah cantik, bakat lakonannya tidak perlu dipertikaikan. Boleh dikatakan drama dan filem lakonan Izara Aishah, 27, berjaya memukau penonton dan peminat setianya.

Izara yang bakal tampil menerusi Ombak Rindu The Series membawakan watak Izzah mengakui banyak cabaran yang perlu dipikul.

Namun, pada masa sama dia terharu kerana diberi kepercayaan melakonkan watak yang diangkat daripada novel popular itu.

“Saya sangat terharu kerana diberi kepercayaan berlakon dalam drama ini. Sekali lagi saya bergandingan dengan Remy Ishak dan diarahkan Osman Ali.

“Walaupun pada awalnya banyak dugaan termasuk dalam mencari keserasian dengan Remy kerana masing-masing mahu memberikan yang terbaik, kami berpuas hati dengan hasilnya.

“Apa yang penting pengarah juga dapat apa dia mahu daripada watak kami jayakan,” katanya.

Sinonim dengan watak berat, Izara berkata, harapannya drama ini diterima ramai dan mendapat sambutan peminat.

Izara juga tidak mahu sama sekali dibandingkan dengan Maya Karin yang pernah melakonkan watak sama.

“Selain terharu saya juga teruja kerana watak ini pernah dijayakan Maya yang juga idola saya. Namun, saya akui gementar dan berharap tidak ada yang akan membandingkan lakonan saya dengan Maya. Saya akan cuba membawakan watak Izzah dengan cara saya sendiri,” katanya.

Ombak Rindu The Series bakal menemui penonton di saluran iFlix bermula 5 Disember ini.

Drama empat episod ini diadaptasi daripada novel bahagian kedua dan ketiga Ombak Rindu.

Selain Izara dan Remy, drama berkenaan turut menampilkan antaranya Uqasha Senrose, Diana Danielle, Hana Aqeela dan Fahrin Ahmad.

Melihat perjalanan seni Izara, hampir lapan tahun isteri kepada Muhammad Adib Khalid ini membabitkan diri sebagai pelakon.

Minat mendalam terhadap lakonan membuatkan dia tidak pernah terlintas untuk terlalu mengejar populariti walaupun sedar perkara itu juga perlu.


IZARA. FOTO: Aziah Azmee

“Sejak dulu saya memang suka berlakon. Sebab itulah saya mengambil Diploma Seni Persembahan. Apabila sudah berada dalam bidang seni baru saya tahu populariti itu juga perlu.

“Namun, sehingga hari ini saya tidak terlalu mengejar populariti. Apa yang penting peminat suka dan menghargai bakat lakonan saya,” katanya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Tribute P Ramlee 2015 dan Pelakon Wanita Filem Terbaik pada Anugerah Telenovela 2018.

Mahu berehat dan fokus keluarga

Hampir dua tahun berlakon tanpa henti dan sibuk di lokasi penggambaran sejak mendirikan rumah tangga pada November 2017, Izara kini mahu berehat dan fokus membesarkan keluarga.

Izara berkata, jika sebelum ini dia dan suami merancang berikutan kesibukan kerja masing-masing, kini dia sudah bersedia menimang cahaya mata.

“Mungkin saya kurang mengejar populariti kerana jiwa terhadap lakonan itu sangat tebal sehingga selepas berkahwin saya terus sibuk di lokasi penggambaran.

“Selesai saja drama Jodoh Jodoh Annisa, saya sibuk pula di lokasi penggambaran Ombak Rindu The Series.

“Memang penat sehinggakan ada satu masa saya rasa keghairahan untuk berlakon itu hilang sekejap kerana terlampau penat,” katanya.

Berikutan itu, Izara berharap selepas ini dia dapat berehat panjang dan memberi fokus kepada keluarga di samping mencari semula ‘mood’ lakonannya yang sudah hilang.

“Saya bersyukur suami sangat memahami minat saya dalam lakonan. Dia juga seorang yang kuat bekerja, jadi kami berdua tiada masalah.

“Bagaimanapun, apabila berada di rumah saya cuba melayan suami dengan sebaik-baiknya dan masak apa juga makanan yang dia suka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 5:20 AM