JOSIAH Hogan.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


BIDANG lakonan sudah sebati dengan dirinya sejak sembilan tahun lalu. Bukan sahaja bersandarkan bakat dan minat mendalam, Josiah Hogan mengakui bidang lakonan adalah periuk nasinya untuk menyara keluarga.

Malah, sampai hari ini pelakon berdarah kacukan Amerika Latin itu tidak pernah mengalah untuk menempa nama di persada seni tanah air.

Pada tahun ini, pelakon berusia 33 tahun itu mempertaruhkan tiga filem lakonannya yang bakal menjengah pawagam tanah air iaitu KL Vampires, 7 Hari Kisah Cinta Langkawi dan Wira.

Pemilik nama sebenar Josiah Padilla Hogan atau atau nama Islamnya, Mohamad Musleh itu berharap tiga filem terbabit akan menyerlahkan namanya di layar perak.

“Saya melakonkan watak hero dalam filem KL Vampires dan filem genre romantik komedi 7 Hari Kisah Cinta Langkawi arahan Anwardi Jamil bergandingan dengan Mark Adam dan Peter Davis yang ditayangkan tahun ini.

“Manakala, filem Wira pula saya tampil sebagai pelakon pembantu disamping Hairul Azreen. Wira akan ditayangkan seminggu selepas tayangan filem KL Vampires.

“Kalau boleh saya mahukan tarikh tayangan setiap filem jaraknya lebih jauh untuk membantu kutipan.

“Namun, saya percaya dengan aturan Allah SWT kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut perihal KL Vampires, Josiah bersyukur kerana filem itu ditayangkan pada 14 November ini.

Dalam filem arahan Daven R itu, Josiah bergandingan dengan Reen Rahim, Aeril Zafrel, Raja Ilya, Pablo Amirul dan ramai lagi.

“Alhamdulillah, selepas tiga tahun disimpan KL Vampires akan menemui penonton.

“Maklumlah, filem ini sudah siap pembikinannya sejak 2016, tetapi belum boleh dikeluarkan kerana ada masalah babak kesan khas,” katanya.

Bercerita mengenai wataknya pula, Josiah menggalas tugas sebagai ketua perajurit pontianak (Vampire) kepada Ratu Citra Sari (Raja Ilya) yang menjaga ketenteraman dunia pontianak dan manusia.

“Saya berdepan cabaran besar untuk menjiwai watak Shah kerana dia ada sejarah silam yang memeritkan dan perlu tanggung seumur hidupnya.

“Watak Shah juga menuntut saya banyak bermain dengan emosi sepanjang cerita. Walaupun pontianak hidup lama, tidak bermakna mereka bahagia.

“Saya juga perlu menonjolkan watak Shah yang kurang fokus dan tidak bersemangat ketika bertarung dengan musuhnya.

“Ada babak aksi, tetapi saya menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri untuk babak merbahaya,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Daven pula, kata Josiah, pengarah itu sangat berpengalaman dan teliti dalam kerjanya.

“Filem ini memiliki kekuatan sinematografi yang menarik dan mampu memukau penonton.

“Lagu tema filem ini berjudul Pelukan Angkasa dendangan Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah,” katanya.

Ditanya tarikan filem itu, Josiah berkata, ia ada kelainan dan mampu menarik penonton ke panggung.

“Filem ini memiliki jalan cerita yang kuat kerana ia adaptasi kisah Raja Bersiong. Mungkin ada yang menyamakan filem ini dengan Twilight, tetapi hakikatnya ia tidak fokus kisah cinta tiga segi seperti karya itu.

“Tiada babak panas, tetapi ada babak Ratu Citra Sari mandi dalam filem ini. Saya percaya tidak semestinya babak panas akan melariskan filem.

“Produser juga merancang untuk buat francais filem ini jika ia mencecah kutipan pecah panggung,” katanya.

Impi watak mencabar

Sebagai pelakon berpengalaman, Josiah mengimpikan watak lebih mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

Menurut Josiah, dia berharap tiga filem lakonannya mampu membuka mata pengarah terhadap bakatnya.

“Saya mahu melihat sejauh mana saya mampu pergi dalam bidang ini. Justeru, saya mahu watak yang ada kelainan kerana mahu menggilap bakat sedia ada.

“Jika sering disogokkan watak sama, kerjaya saya akan statik,” katanya.

Ditanya filem genre sains fiksyen lakonannya, Antara Masa, Josiah berkata, dia kecewa kerana ia diperam hingga hari ini.

“Saya bergandingan dengan penyanyi Kaka Azraff dalam filem ini. Saya juga melakonkan watak idaman iaitu saintis. Filem ini siap sepenuhnya pada 2014, tetapi tidak ditayangkan.

“Sebagai pelakon utama pastinya saya kecewa kerana tidak dapat melihat hasilnya,” katanya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Penanggal, Surf This Love, KL Special Force, Manisnya Cinta di Cappadoccia dan Luqman.

Selain filem, Josiah turut menjayakan drama termasuk Salon arahan Kabir Bhatia untuk saluran Viu, Mimpi Sabrina yang bersiaran di slot Samarinda TV3, 30 Juzuk Cinta dan Tasbih Rindu (RTM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 6:00 AM