MUHD Irwan Shah. (Gambar kecil) ciapan dimuat naik Muhammad Ariff Azhar. FOTO Ihsan Muhd Irwan Shah dan Muhammad Ariff Azhar.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“BUAT masa ini, ibu dan ayah memberi keperluan yang mencukupi cuma saya memilih bekerja sambilan sebagai penghantar makanan kerana mahu berdikari dan menimba pengalaman,” kata Muhd Irwan Shah Sabarudin, 16.

Muhd Irwan Shah memberi reaksi berhubung gambarnya duduk berseorangan yang tular selepas dikongsi rakan sekerjanya, Muhammad Ariff Azhar Mohd, 23 di Twitter, semalam.

Gambar berkenaan turut disertakan dengan keterangan yang menceritakan serba ringkas latar belakangnya.

Rata-rata warganet memuji kesungguhan Muhd Irwan Shah kerana bijak memanfaatkan masa terluang dan mendoakan remaja berkenaan dimurahkan rezeki.

Menceritakan perkara sebenar, Muhd Irwan Shah berkata, gambar berkenaan diambil secara spontan ketika sedang berehat dan dia tidak menyedarinya sehingga ia tular di media sosial.

“Sebenarnya, baru hari ini saya tahu mengenai gambar yang tular itu dan rasa terkejut selepas melihat ramai memberi maklum balas dengan segelintir bersedih kerana simpati dengan nasib saya.

“Sebenarnya, saya bukan datang daripada keluarga susah atau terlalu senang, tetapi sederhana saja yakni cukup makan, pakai serta keperluan lain-lain.

“Namun, ada yang tersalah tafsir hingga membuat andaian sendiri mungkin kerana gambar itu menyentuh emosi mereka.

“Hakikatnya, gambar itu diambil tanpa sedar ketika saya sedang runsing selepas berlaku salah faham dengan pelanggan.

“Terima kasih kepada yang prihatin tetapi saya berharap penjelasan ini memadai dan tidak lagi membuatkan warganet salah sangka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bercerita lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia baru memulakan kerja sebagai penghantar makanan untuk Dahmakan pada Ahad lalu.

Katanya, pekerjaan itu tidak mengganggu jadual persekolahannya kerana hanya dilakukan pada hujung minggu dan niatnya adalah untuk belajar berdikari, menimba pengalaman baru serta mencari duit poket. “Sebelum ini, saya lihat beberapa orang rakan sebaya bekerja sebagai ‘rider’ (penghantar makanan) dan ia mendorong untuk mengikut jejak langkah mereka.

“Lagipun, peperiksaan sudah selesai dan saya pula mempunyai lesen motosikal, jadi mahu memanfaatkan masa terluang dengan bekerja daripada bermain telefon saja.

“Sekurang-kurangnya, saya mendapat duit dengan bekerja dan boleh membeli apa yang dikehendaki tanpa terlalu bergantung dengan keluarga.

“Walaupun pernah tersesat ketika menghantar makanan kepada pelanggan, saya seronok kerana dapat bertemu dengan orang ramai dan membuat rakan baru di tempat kerja,” katanya yang menetap di Taman Pertama, Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, rakannya, Muhammad Ariff Azhar berkata, niatnya berkongsi gambar berkenaan adalah untuk memberi inspirasi kepada anak muda.

“Mesej yang cuba saya sampaikan menerusi gambar berkenaan adalah mengenai kegigihan Muhd Irwan Shah bekerja walaupun masih bersekolah.

“Bagi saya, kisahnya itu wajar dijadikan contoh dan tak sangka pula ciapan berkenaan akan tular tetapi gembira jika anak muda di luar sana tersedar bahawa banyak pekerjaan boleh dilakukan seandainya mereka tidak terlalu memilih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 10:00 PM