ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan seorang budak perempuan selepas tersangkut dalam ruang pengering mesin basuh dalam kejadian di Taman Pandan, Beluran. FOTO Ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


BUDAK perempuan cemas selepas tersangkut dalam ruang pengering mesin basuh dalam kejadian di Taman Pandan, dekat Beluran, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa berusia tiga tahun dilaporkan tersepit ketika bermain di mesin basuh berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.51 petang dan mengerahkan lapan anggota bomba ke lokasi bersama sebuah jentera penyelamat.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kanak-kanak perempuan terbabit yang menangis ketakutan masih tersangkut di dalam mesin basuh berkenaan.

“Difahamkan, mangsa memanjat dan naik ke bahagian atas mesin basuh menggunakan kerusi sebelum terjatuh masuk ke bahagian pengering dan tersangkut.

“Pasukan bomba kemudiannya membantu mengeluarkan mangsa dengan menggunakan air sabun cucian kain untuk melicinkan badan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rastam berkata, operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 20 minit.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan operasi tamat sepenuhnya pada 4.16 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 12:51 PM