AKIM, Stacy sedar kehidupan peribadi turut ditonjolkan apabila terbabit dalam Mentor Milenia 2019. FOTO: Supian Ahmad
Rudy Imran Shamsudin

PEMBABITAN pasangan penyanyi popular, Akim Ahmad dan Stacy dalam program realiti Mentor Milenia 2019 dikaitkan seperti pasangan kekasih terkenal Hollywood, Gwen Stefani bersama Blake Shelton.

Kebetulan Mentor Milenia 2019 yang mula bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di TV3, sama waktunya dengan program realiti pencarian bakat di Hollywood The Voice yang kini rancak bersiaran.

Pembabitan Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad dan Stacy (Ummu Syaikhah Stacy Anam) sebagai mentor pastinya menjadi tarikan kerana ramai mahu melihat bagaimana pasangan suami isteri itu bersaing.

Lebih daripada itu, apabila membabitkan diri dalam program realiti, sedikit sebanyak kehidupan peribadi mereka akan turut menjadi perhatian umum.

Mengulas perkara itu, Stacy berkata pada peringkat awal Akim sebenarnya tidak dapat menjayakan program terbabit kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Bagaimanapun, selepas berbincang dan beberapa perubahan terhadap jadual kerja dilakukan akhirnya Akim dapat menjayakan Mentor Milenia tahun ini.

“Benar, apabila menyertai program realiti seperti Mentor Milenia sisi kehidupan peribadi juga akan menjadi paparan. Perkara seperti ini tidak boleh dielakkan.

“Bagaimanapun, kami sendiri akan cuba pastikan apa yang dipaparkan ini membabitkan hal kerja dan membangunkan bakat protege yang berada di bawah kami,” katanya.

Kata Stacy, kehadiran Gwen dan Blake dalam The Voice menjadikan pengisian program realiti itu semakin menarik. Tidak dinafikan kemungkinan pandangan sama juga diberikan umum terhadap dirinya dan Akim.

“Tambahan pula kami suami isteri dan dalam program ini kami bersaing. Namun, bagi saya yang bersaing ialah peserta manakala saya dan Akim akan cuba berkongsi ilmu serta membentuk protege kami agar dapat menjadi penghibur terbaik.


TIDAK ada aksi berlebihan.

“Walaupun suami isteri, sudah tentu apabila membabitkan diri dalam Mentor Milenia, kami ada strategi tersendiri untuk mengetengahkan bakat yang berada di bawah jagaan kami,” katanya.

Protege di bawah pengawasan Stacy ialah Abdul Amir Ariff Abdul Manaf, 22, (Remy Manaf) dan Erika Rianty Anthony, 19 (Rika Riana).

Sementara itu Akim pula apabila ada yang mengaitkan dia dan isteri seperti Blake serta Gwen, ia dilihat sebagai penghargaan memandangkan kedua-dua penggiat seni di Amerika Syarikat itu dikenali kerana kehebatan mereka sehingga mampu muncul sebagai penghibur antarabangsa.

Kata Akim, perkara itu turut menyuntik semangatnya untuk terus berjuang dan berkarya.

“Pembabitan saya dalam program Mentor Milenia 2019 sebenarnya rezeki tidak dijangka dan bagi saya konsepnya sangat menarik. Ini juga kali pertama saya dan isteri terbabit dalam program realiti bersama,” katanya.

Akim akui sedar apabila dia dan Stacy bersetuju membabitkan diri dalam program realiti bermakna sedikit sebanyak sisi kehidupan peribadi mereka juga akan ditonjolkan.

“Bagi saya apa yang dipaparkan nanti bukanlah perkara yang keterlaluan. Setakat aksi manja kami suami isteri mungkin ada, tetapi tidaklah berlebihan.

“Apa yang pasti saya akan cuba memastikan paparan dalam program Mentor Milenia 2019 tidak akan ada babak tak elok atau menyakitkan mata.

“Saya secara peribadi kalau boleh tidak mahu kehidupan peribadi kami ditonjolkan berlebih-lebihan memandangkan yang penting dalam program ini adalah bakat yang mahu diketengahkan bukannya kami,” katanya.

Tegas Akim, pembabitannya mahupun Stacy dalam program Mentor Milenia 2019 bukanlah mahu bersaing sebaliknya mereka cuba meraikan bakat baharu yang mahu menyertai industri muzik tempatan.

Protege yang berada di bawah pengawasan Akim ialah Sharee Lopes atau nama sebenarnya, Sarifah Noor Hasmah Syed Hassim dan Ryan Que (Nazrul Fhad Sulaiman Fahmi).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 5:20 AM