RAKAMAN gambar Ahmad Syukri memberikan jersi Liverpool kepada Zulkifli yang mentahnikkan bayinya tular di Twitter. FOTO Ihsan Ahmad Syukri Azmi
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA terharu dengan kesudian mufti mentahnikkan (membelah mulut) anak saya dan gembira kerana dapat menyerahkan jersi pasukan kesayangannya, Liverpool ketika pertemuan itu,” kata Ahmad Syukri Azmi, 28.

Ahmad Syukri memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisah di sebalik pertemuannya dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad, kelmarin.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Zulkifli meluahkan penghargaan kepada Ahmad Syukri yang menghadiahkan beliau jersi pasukan Liverpool selepas mentahnikkan bayi pemuda berkenaan.

Penghargaan yang diluahkan menerusi ciapan di Twitter itu mengundang pelbagai maklum balas daripada warganet yang rata-ratanya tahu minat Zulkifli terhadap Liverpool.

Menceritakan kisah sebenar, Ahmad Syukri mengakui sudah lama mengikuti perkembangan Dr Zulkifli di Twitter dan gembira kerana akhirnya berpeluang bertemu dengan ulama berkenaan.

“Kebetulan, ayah (Azmi Ahmad, 59) ada mesyuarat bersama Zulkifli pada hari berkenaan dan selepas tahu mengenainya, saya minta bantuannya (ayah) untuk bertanya sama ada mufti ada kelapangan untuk mentahnikkan anak saya yang baru dilahirkan pada 15 Oktober lalu.

“Alhamdulillah, beliau (mufti) tidak keberatan dan pertemuan kami hanya sekejap tetapi saya sempat menyerahkan sehelai jersi Liverpool kepadanya sebelum pulang.

“Idea itu (menghadiahkan jersi) datang secara spontan kerana tidak tahu apa cenderahati yang sesuai diberikan kepadanya dan memandangkan dia meminati Liverpool, saya berikan jersi berkenaan.

“Diharap, beliau sukakan pemberian itu dan besar harapan saya untuk melihat anak, Faiz Rayyan menjadi sepertinya apabila dewasa kelak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Ahmad Syukri, dia tidak tahu kisah pertemuannya dengan Zulkifli tular di laman sosial sehingga menerima kiriman tangkap layar mengenai ciapan berkenaan daripada rakannya.

“Saya tidak sangka beliau berkongsi gambar berkenaan di Twitter kerana sedang sibuk ketika itu memandangkan baru tiba di Beijing dari Malaysia.

“Namun, rata-rata pengikut mufti memberikan komen positif. Cuma ada segelintir saja yang mempersoalkannya mungkin kerana meragui sama ada pemberian hadiah itu menyalahi etika sedangkan ia sekadar buah tangan saja,” katanya yang juga bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 9:13 PM