ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan.
Mohd Sabran Md Sani dan Izlaily Nurul Ain Hussein
am@hmetro.com.my


“TERNYATA kebimbangan saya terhadap keselamatan dua anak terbabit kemalangan akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebelum ini, saya sering berpesan supaya mereka tidak pulang lewat dan hadkan pemanduan pada waktu malam. Tetapi perkara yang membimbangi saya itu akhirnya berakhir tragedi,” kata Law, 41, bapa yang kehilangan dua anak remaja dalam kemalangan maut meragut lima nyawa, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, dua anak lelakinya, Kenny Law Chin Shyuan 16, dan Danny Law Yen Pin, 18, maut bersama tiga rakan lain dikenali sebagai Liew Hong Jun, 18, Ng Qi En, 18, dan Lee Boon Hau, 18, selepas kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka merempuh tembok serta sebuah bas awam di Kilometer 1.7, Jalan Skudai-Pantai Lido berhampiran Istana Besar Johor di sini, jam 5.30 pagi.

Katanya, pada malam kejadian, anak sulungnya, Danny sempat menghantarnya pulang ke rumah mereka di Taman Setia Indah selepas dia mengalami cirit-birit ketika sedang berniaga.


KEADAAN kereta dinaiki lima remaja selepas kemalangan di Kilometer 1.7, Jalan Skudai-Pantai Lido berhampiran Istana Besar Johor.

“Saya mengalami cirit-birit malam tadi (kelmarin) dan hampir pengsan ketika berada di gerai makan clay pot berdekatan rumah kami.

“Disebabkan itu, Danny membawa saya pulang ke rumah pada jam 8 malam sebelum dia membantu ibunya di gerai kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, semalam.

Katanya, masalah kesihatan dialami menyebabkan dia tidur awal pada jam 9 malam.

Menurutnya, dia hanya menyedari dua anaknya terbabit kemalangan selepas dimaklumkan anggota bomba pada jam 6 pagi semalam.

“Anggota bomba memaklumkan anak saya terbabit kemalangan sebelum saya bergegas ke HSA bagi melihat keadaan mereka.

“Sejurus tiba di hospital, kedua-dua anak lelaki kami itu disahkan sudah meninggal dunia,” katanya yang berasal dari Perak.

Katanya, dia tidak menyangka akan kehilangan dua anak serentak dalam sekelip mata.

“Semalam juga adalah kali pertama dan terakhir Danny sempat menghantar saya pulang ke rumah. Tidak sangka nahas berlaku tidak lama kemudian,” katanya.

Difahamkan, Danny juga sempat menghantar pulang ibu serta adiknya ke rumah pada jam 11 malam kelmarin.

“Namun kami tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu kerana sudah tidur awal,” katanya.

Katanya, mendiang dua anaknya itu amat rajin membantu keluarga berniaga terutama selepas selesai sesi persekolahan.

Difahamkan, semua mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:45 AM