Samri yang dirawat di HSNZ Kuala Terengganu turut hilang kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Tok Dor, Ajil, Hulu Terengganu kelmarin. Foto Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


PENUNGGANG motosikal yang terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Tok Dor, Ajil, Hulu Terengganu kelmarin terpaksa dipotong kaki kanan selepas tulangnya hancur.

Mangsa, Samri Said, 52, menjalani pembedahan itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas proses penyambungan gagal petang semalam.

Menurut Samri, dia reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk hidup tetapi buntu memikirkan bagaimana mahu menyara enam anak berusia tiga hingga 17 tahun yang masih belajar itu.

“Saya hanya bekerja sebagai tukang rumah dan sudah pasti sukar untuk saya meneruskan pekerjaan itu selepas kaki dipotong sehingga paras buku lali,” katanya ketika ditemui di HSNZ hari ini.

Menceritakan mengenai kejadian yang turut menyebabkan anak saudaranya putus kaki kanan, Samri berkata, kemalangan berlaku selepas dia mengambil anak, Nur Farahiya Najwa, 10, dan anak saudaranya, Muhammad Zulhaikal Mohamed, 12, yang baru pulang selepas menyertai lawatan sekolah.

Menurutnya, dia memperlahankan motosikalnya selepas ternampak anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemeriksaan terhadap lori sebelum diberikan isyarat supaya meneruskan perjalanan.

“Apabila meneruskan perjalanan, motosikal saya dilanggar kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kami tercampak dan anak saudara putus kaki.

“Saya terkilan kerana ada pihak mendakwa saya tidak memakai topi keledar ketika kejadian sedangkan topi keledar warna putih yang dipakai tercampak akibat kemalangan,” katanya yang menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, bapa Zulhaikal, Mohamed Ismail, 47, berkata, anaknya dilaporkan stabil dan sudah sedarkan diri tetapi belum mengetahui keadaan kaki kanannya yang putus.

“Pagi tadi, dia ada raba bahagian kaki kanannya tapi tak ada tanya apa kepada kami (ahli keluarga). Mungkin dia masih belum sedar sepenuhnya kesan daripada ubat bius.

“Kami tidak tahu bagaimana untuk maklumkan kepada Zulhaikal berhubung kakinya itu dan berharap dia tabah menempuhi ujian ini,” katanya.

Menurut Mohamed, anak bongsu daripada dua beradik itu dijangka menjalani satu lagi pembedahan dalam masa terdekat ini selepas dirujuk kepada doktor pakar.

“Kami dimaklumkan pembedahan akan dilakukan dengan menebuk bahagian perut untuk membuat saluran bagi mengeluarkan najis.

“Ia disebabkan saluran asalnya sukar berfungsi dengan baik dan boleh menyebabkan dia mengalami kesakitan untuk membuang najis kerana terlalu dekat dengan jahitan anggota yang putus itu,” katanya.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan murid tahun enam putus kaki kanan apabila motosikal dibonceng bersama bapa saudaranya bertembung dengan kereta dalam kejadian di Kilometer 24 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi dekat Kampung Tok Dor, Ajil, Hulu Terengganu pada 7.30 malam kelmarin.

Berita berkaitan

'Adik tak tahu kakinya sudah tiada'

Video tular: JPJ Terengganu lapor polis

Murid putus kaki dalam kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 5:09 PM