KEADAAN Proton WIra dinaiki lima mangsa selepas terbabit kemalangan. FOTO IHSAN JBPM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEORANG lagi mangsa kemalangan kereta dan bas di Jalan Abu Bakar, Lebuhraya Sultan Iskandar, Johor Bahru, awal pagi tadi, disahkan maut.

Remaja lelaki berusia 18 tahun yang juga pemandu Proton Wira disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kemalangan pagi tadi, empat penumpang kereta maut selepas kenderaan itu dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari arah pusat bandar menghala ke Skudai terbabas melanggar tembok pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Kereta itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan ketika itu terdapat bas yang bergerak dari arah Skudai menghala ke pusat bandar,” katanya.

Katanya, kemalangan menyebabkan kereta berpusing dan terlanggar pagar Istana Besar Johor.

Beliau berkata, semua mangsa dalam kereta parah dengan empat penumpang maut di lokasi kejadian manakala pemandu maut di hospital.

Katanya, pemandu bas berusia 60 tahun tidak cedera.

Menurut Shahurinain, siasatan awal juga mendapati lokasi kejadian adalah jalan susur berbentuk Y dengan dua lorong dua hala serta dipisahkan garisan berkembar sebagai pembahagi jalan.

“Permukaan jalan ketika itu basah dan licin tetapi cuaca baik selepas hujan dan ketika waktu subuh.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi menyiasat dakwaan sama ada kenderaan dipandu laju atau pemandu memandu di bawah alkohol,” katanya.

Katanya, semua mayat mangsa dibawa ke HSA untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

4 ramaja maut,1 parah [METRO TV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 12:25 PM