Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS mengesan individu yang merosakkan cermin kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berada berdekatan kemalangan di Kampung Tok Dor, Ajil di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengambil keterangan anggota JPJ terbabit.

Katanya, kejadian berlaku ketika tiga anggota JPJ melakukan pemeriksaan terhadap lori yang berhenti di tepi jalan di lokasi berkenaan dengan dua daripada mereka memeriksa lori manakala seorang lagi mengawal lalu lintas.

“Bagaimanapun, dua kereta dikatakan memperlahankan kenderaan mereka sebaik ternampak anggota JPJ sebelum motosikal itu memotong dua kenderaan berkenaan.

“Ketika kejadian, motosikal itu masih berada dalam laluannya sebelum sebuah kereta jenis Toyota Vios dari arah bertentangan memasuki laluan tiga beranak itu lalu melanggar mereka.

“Sewaktu keadaan kelam-kabut di lokasi kemalangan, anggota JPJ terbabit didatangi beberapa lelaki tidak dikenali yang memarahi mereka.

“Kejadian itu turut menyebabkan cermin kanan kenderaan jenis Ford Ranger milik agensi berkenaan retak dipercayai akibat dibaling batu membabitkan kerugian RM1,000,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Adli berkata, hasil soal siasat mendapati sekurang-kurangnya 10 lelaki mencetuskan provokasi terhadap anggota JPJ terbabit namun tiada pergaduhan di antara kedua-dua pihak.

“Anggota polis yang hadir mengarahkan anggota JPJ terbabit beredar dari lokasi sebagai langkah keselamatan dan meminta mereka tampil ke Balai Polis Kuala Berang untuk laporan.

“Siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan dan mengenal pasti individu yang melakukan khianat terhadap kenderaan agensi penguatkuasa berkenaan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum itu, Portal Harian Metro melaporkan murid tahun enam putus kaki kanan apabila motosikal dibonceng bersama bapa saudaranya bertembung dengan kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:35 AM