WANI tidak kecewa nama belum di tahap popular seperti rakan seangkatan. Foto: Aziah Azmee
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


HAMPIR enam tahun membina kerjaya nyanyian, ternyata bukan mudah bagi bakat muda berpotensi seperti Wani Syaz, 22, menempa nama dan dikenali ramai.

Mengakui belum mampu berada di tahap popular sebagaimana rakan baiknya, Wany Hasrita, perjalanan kerjaya dilalui Wani agak berliku.

Tidak kecewa, gadis manis petah berbicara ini sentiasa yakin perancangan Allah SWT adalah terbaik dan dia akan terus berusaha sehingga berjaya.

Ditanya sama ada kesukaran Wani atau nama sebenarnya Nursyazwani Selamat mengecapi populariti sebagai penyanyi berhubung kait dengan status dirinya anak guru agama, tegasnya bukan itu faktornya.

Katanya, dia kurang dikenali tiada kaitan langsung dengan kerjaya ibu tercinta, Rohanisah Hassan Basri, 49, yang bertugas sebagai guru agama.

“Popular dan dikenali sebenarnya rezeki. Mungkin saya belum berupaya mengecapinya kerana tiada lagu yang kuat untuk orang ingat.

“Saya dapati kebanyakan lagu yang pernah dirakam setakat ini boleh dikatakan persis ‘angin lalu’ apabila ia diterima pendengar dalam tempoh tertentu.

“Ia tiada kena-mengena langsung dengan kerjaya ibu saya. Apa yang pasti lagu solo saya tidak sehebat Wany Hasrita yang popular menerusi lagu Menahan Rindu, Rintihan Rindu dan Terlalu Memuja,” katanya.

Bagaimanapun, kata Wani, dia bertuah kerana ibunya sangat menyokong pembabitannya dalam bidang nyanyian. Malah, ibu tidak pernah menghalang dia memilih kerjaya seni.

“Ibu menghormati keputusan saya untuk bergelar penyanyi. Malah, ibu juga akan meneliti setiap pakaian akan digayakan sesuai dengan penampilan saya.


WANI urus restoran keluarga.

“Terus terang, saya banyak berbincang dengan ibu untuk memilih pakaian sesuai. Ini kerana saya lebih selesa dan yakin dengan keputusan dibuat bersama ibu,” katanya.

Mengulas lanjut kariernya, Wani berkata dia baru saja muncul dengan lagu Gemala hasil ciptaan tiga komposer iaitu Omar K, Shazee Ishak dan Blaine Bakri.

Katanya, Gemala menggabungkan genre pop, reggae dan EDM dengan suntikan tarian dalam lagu. Jelasnya, genre lagu Gemala tidak jauh beza dengan Pendusta Cinta yang dirakam pada tahun lalu.

“Lagu Gemala sangat menarik bagi saya kerana paling utama, sesuai dengan vokal. Bagaimanapun, harapan saya semoga lagu ini diterima baik pendengar dan mesra radio.

“Untuk platform digital seperti YouTube, video lirik dan muzik lagu Gemala sudah dimuat naik sejak tiga minggu lalu. Alhamdulillah, sambutan agak positif,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan tiga komposer terkenal, Wani berkata itu rezekinya. Malah, Wani sangat selesa bekerja dengan ramai komposer. Setakat ini, video muzik rasmi lagu Gemala yang dimuat naik di YouTube sudah mencatat lebih 165,000 tontonan dalam tempoh hampir sebulan.

Urus restoran keluarga

Meskipun tidak putus menerima undangan persembahan dan ada saja aktiviti seni perlu dijayakan, Wani Syaz memilih berulang-alik ke Kuala Lumpur kerana menetap bersama keluarganya di Batu Pahat, Johor.

Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, selain perlu fokus dengan kerjaya nyanyian, dia juga menggalas tanggungjawab menguruskan restoran milik keluarganya.

Kata Wani, restoran keluarga diberi nama Beezer Box itu beroperasi sejak setahun lalu dan menyediakan masakan bergoreng, hidangan Barat serta nasi ayam penyet.

“Sebelum ada rezeki buka restoran, saya bersama ibu menjalankan perniagaan makanan ini di warung kecil. Malah, jika ada urusan kerja di ibu kota, biasanya warung akan ditutup.

“Namun, dengan adanya restoran ini pengurusan perniagaan lebih terurus. Apatah lagi, saya pun memang minat berniaga selain menyanyi,” katanya.

Menurut Wani, biarpun ibunya masih bekerja tetap dan dia aktif menyanyi, pembabitan dalam perniagaan perlu sebagai sumber pendapatan lain dan jaminan masa depan.

“Sebenarnya, seronok berniaga walaupun risiko cabarannya besar. Bagi saya, teruskan usaha dan rezeki itu semestinya akan dikurniakan Allah kepada mereka yang rajin serta yakin,” katanya.

Sehubungan itu, Wani berkata dia juga dalam perancangan mengembangkan perniagaan keluarga dengan menceburi bidang kosmetik.

TRIVIA

- Wani Syaz sebelum ini pernah dikenali sebagai Wani Music, Wani Lepaskan, Wani Alhamdulillah dan Wani GGV.

- Tidak mahu pendengar keliru dia dengan Wany Hasrita dan Wani Kayrie, nama pentas Wani Syaz dipilih.

- Pernah menyertai program Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) pada 2017.

- Pernah popular dengan lagu duet bersama Juzzthin iaitu Lepaskan dan Alhamdulillah serta lagu Pendusta Cinta dengan W.A.R.I.S.

- Video muzik lagu Pendusta Cinta mencatat 24 juta tontonan di YouTube dalam tempoh setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:40 AM