HAFIZ sempat bergambar dengan Azrul Hisham yang membantu menunda motosikalnya. FOTO Ihsan Hafiz Nordin
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA tidak sangka dia sanggup membantu menunda motosikal saya hingga ke rumah kerana keadaan pada waktu itu hujan lebat disertai dengan guruh yang tidak henti-henti,” kata Hafiz Nordin, 26.

Hafiz memberi reaksi itu bagi mengulas ciapan dimuat naiknya di Twitter mengenai pengalaman dibantu seorang lelaki selepas motosikal Yamaha Nouvo miliknya rosak di Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Ciapan dimuat naik bersama gambar itu setakat ini mendapat lebih 2,700 tanda suka dan 3,700 ulang ciap oleh warganet.

Menceritakan kisah sebenar, Hafiz berkata, insiden itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kuala Lumpur ke rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.

“Selepas melepasi plaza tol di lebuh raya berkenaan, enjin motosikal mati secara tiba-tiba dan saya cuba menghidupkannya semula tetapi tidak berjaya.

“Buntu juga ketika itu, namun saya bernasib baik kerana tidak lama selepas berada di situ, seorang penunggang motosikal lelaki datang menghulurkan bantuan.

“Dalam keadaan hujan lebat, dia sanggup membantu menunda motosikal saya dengan jarak sejauh 15 Kilometer (km) untuk sampai ke rumah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.


HAFIZ berkongsi pengalamannya dibantu seorang lelaki dengan memuat naik ciapan di Twitter FOTO Ihsan Hafiz Nordin

Menurut Hafiz, selain berkongsi pengalaman dilalui, niatnya memuat naik kisah berkenaan di Twitter adalah untuk menjejaki lelaki berkenaan.

“Setibanya di rumah, kami sempat berbual dan saya ada mengucapkan terima kasih selain menghulurkan sedikit upah sebagai ganjaran tetapi dia menolaknya dengan alasan ikhlas membantu saya.

“Saya juga terlupa untuk meminta nombor telefon lelaki berkenaan dan itu salah satu sebab saya berkongsi kisah berkenaan di Twitter dengan harapan dapat menjejakinya.

“Alhamdulillah, usaha itu berhasil dan niat saya menghubunginya adalah untuk mengundangnya hadir ke majlis persandingan saya di Subang, Jaya, Selangor minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Azrul Hisham Che Zan, 25, mengakui terkejut selepas mengetahui kisah berkenaan tular di laman sosial kerana tidak mengharapkan sebarang ganjaran sebaliknya ikhlas membantu Hafiz yang memerlukan pertolongan ketika itu.

Malah, Azrul yang berasal dari Gua Musang, Kelantan berkata, tiada sedikit pun perasaan was-was ada di hatinya walaupun berseorangan ketika malam berkenaan.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja dan memberhentikan kenderaan (motosikal) selepas ternampak seorang lelaki sedang menghidupkan motosikal di bahu jalan.

“Memandangkan laluan itu agak sibuk dan dia (Hafiz) pula berseorangan, saya tidak berfikir panjang sebaliknya terus menawarkan bantuan untuk menunda motosikalnya sehingga sampai ke rumahnya.

“Dia mahu memberikan upah tetapi saya menolak kerana memang ikhlas membantu.

“Cuma, saya tidak dapat bersembang lama dengannya kerana mahu pulang ke rumah selepas itu,” katanya yang juga bapa kepada seorang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 10:14 PM