Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


SEORANG penduduk di Kampung Ulu Sungai Choh, Serendah di Hulu Selangor terkejut apabila terserempak ‘beruang’ sedang bergayut pada ampaian baju.

Bagaimanapun, haiwan berwarna hitam itu sebaliknya dikenal pasti sebagai hidupan liar, binturong yang sukar ditemui.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Selangor, Kapten (PA) Hilmi Husman berkata, penemuan haiwan liar itu dimaklumkan kepada pihaknya pada 4.54 petang kelmarin.

Menurutnya, seramai enam anggota APM segera dihantar ke kediaman terletak di Serendah itu.

“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi, kami mendapati haiwan dimaksudkan itu bukanlah beruang.


ANGGOTA APM berusaha menangkap binturong yang ditemui di rumah seorang penduduk di Kampung Ulu Sungai Choh, Serendah. FOTO Ihsan APM

“Ia sebaliknya adalah seekor binturong dewasa. Haiwan itu dipercayai kelaparan sebelum anggota APM bertindak cuba menjinakkan dan mengumpan haiwan liar itu menggunakan pisang.

“Langkah itu dilakukan dalam usaha memujuk haiwan itu untuk masuk ke dalam sangkar,” katanya kepada wartawan Harian Metro.


BINTURONG yang berjaya ditangkap anggora APM di Kampung Ulu Sungai Choh, Serendah. FOTO Ihsan APM

Menurutnya, binturong itu kemudian berjaya ditangkap dan diselamatkan selepas usaha memujuknya dilakukan anggota APM selama hampir 30 minit.

“Haiwan liar itu kemudian dibawa ke pejabat Perhilitan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Secara amnya, binturong adalah sejenis mamalia menyerupai musang yang mempunyai jangka hayat sehingga 25 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 9:15 PM